KUALA LUMPUR: UMNO dan DAP perlu bertindak tegas dan tidak
membenarkan terlalu ramai jurucakap parti mengeluarkan kenyataan terbuka
sehingga mengheret ke kancah perbalahan sesama mereka sekali gus
mengeruhkan hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr
Sivamurugan Pandian, berkata kedua-dua parti perlu bertindak ke atas
semua pemimpinnya yang dilihat cuba keruhkan hubungan sesama mereka,
ketika keutamaan kini sepatutnya adalah mencari titik persamaan.
"Tidak mudah untuk bersama. Keputusan mesti melangkaui kepentingan
peribadi dan memberi suluhan kepada kepentingan bersama. Memang sukar,
tetapi tidak mustahil jika mekanisme asas dibina untuk berkomunikasi dan
tidak mengguna media untuk keruhkan suasana kerana perbezaan boleh
dirai secara tertutup. Formulanya bermula dengan keazaman politik yang
besar," katanya ketika dihubungi BH.
Beliau mengulas kenyataan bekas Naib Presiden UMNO dan bekas Perdana
Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyifatkan hubungan UMNO
dan DAP seperti 'kahwin paksa' susulan 'perang mulut' antara pemimpinnya.
Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata mana-mana parti politik yang
pernah menjadi seteru tidak boleh berharap menguburkan segera perbezaan
yang pernah wujud sejak sekian lama.
"Dalam kes beliau (Ismail Sabri) sendiri, pernah berhadapan keadaan
serupa. Walaupun MoU (memorandum persefahaman) ditandatangani (kerajaan
dan pembangkang), tetapi Akta SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-langkah Khas) 2012) tidak mendapat sokongan (pembangkang ketika
itu).
"Cabaran kahwin paksa adalah untuk buktikan pada musuh dalam dan luar
parti bahawa Ia boleh berjaya kerana melangkaui kepentingan politik dan
adalah untuk negara," katanya.
Bagi penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, UMNO dan DAP
secara realitinya sukar bekerjasama tetapi seolah-olah tiada pilihan,
maka kedua dua parti ini akur untuk bekerjasama secara 'paksa rela'. bekerjasama secara 'paksa rela'.
Kerjasama paksa rela antara UMNO-DAP tunggu masa cetus perbalahan terbuka
Justeru katanya, kerjasama 'paksa rela' ini mewujudkan satu jurang
hubungan yang tidak menentu, malah hanya menunggu masa untuk mencetuskan
perbalahan terbuka antara pemimpin kedua-dua parti.
"Jelas hari ini perang mulut sudah tercetus antara pemimpin UMNO khususnya antara Lim Kit Siang dengan (Datuk Dr Mohd) Puad Zarkashi.
Malah Ismail Sabri yang dilihat tidak sealiran dengan Presiden UMNO
secara terbuka membuat kenyataan menambah ketegangan hubungan UMNO -
DAP.

"Jika tidak ditangani segera oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar
Ibrahim) akan menggoyahkan kestabilan kerajaan. Saya yakin pertembungan
isu mengenai pengampunan diraja Datuk Seri Najib Razak, gambaran
hubungan UMNO-DAP yang sukar," katanya.
Katanya, jika hubungan kedua-dua parti baik, maka tidak ada
perbalahan terbuka dan rundingan boleh dilakukan bagi membincangkan
sebarang isu sensitif secara tertutup bagi menjamin kebersamaan dalam
sebuah gabungan parti.
"Tetapi saya tidak nampak nilai-nilai kebersamaan ini dalam kerjasama
politik UMNO-DAP menerusi Kerajaan Perpaduan kerana mereka tiada
pilihan selain memperjudikan prinsip dan perjuangan semata-mata untuk
membentuk kerajaan," katanya.
Perbalahan UMNO-DAP boleh beri manfaat kepada UMNO tarik pengundi Melayu
Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan
Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan pula, menyifatkan perbalahan
pemimpin dua parti ini boleh memberi manfaat kepada UMNO, khususnya
dalam menarik keyakinan pengundi Melayu.
"Ia mempamerkan UMNO dengan DAP berseteru itu penting kerana bagi
penyokong dan pengundi Melayu, mereka tidak suka melihat UMNO bukan saja
bekerjasama dengan DAP tapi dilihat mengalah dengan DAP.
"Inilah sisi baiknya ungkapan kahwin paksa itu dikeluarkan Ismail
Sabri, strateginya boleh memberi kelebihan kepada UMNO. Ia secara
langsung menepis tohmahan UMNO sanggup bersekongkol dengan DAP dan
membelakangi prinsip parti," katanya.

0 Komentar