JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dirayu segera campur tangan untuk mengelakkan lebih 10,000 doktor kontrak di seluruh negara mogok mulai isnin hingga Rabu ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata hak
melancarkan mogok adalah hak asasi semua pekerja termasuk doktor
kontrak, malah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan
bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
"Doktor-doktor kontrak berkenaan kecewa kerana masalah lantikan ke
jawatan tetap belum diselesaikan meskipun sudah berlanjutan selama tujuh
tahun.
"Campur tangan Perdana Menteri dengan jaminan segera menyelesaikan
masalah mereka mungkin dapat mengelakkan mogok dilancarkan esok yang
dibimbangi melumpuhkan operasi di hospital awam di seluruh negara.
"Perdana Menteri perlu mendengar protes mereka bahawa wujud amalan diskriminasi dan penindasan ke atas doktor kontrak.
"Saya juga menyeru Perdana Menteri menasihati Kementerian Kesihatan
(KKM) supaya tidak mengugut doktor kontrak berkenaan dengan tindakan disiplin dan tatatertib di bawah Public Officers (Conduct and Discipline) Regulation 1993," katanya melalui kenyataan, hari ini.
Doktor kontrak merancang melakukan mogok selama tiga hari di
seluruh negara bermula isnin susulan dikatakan kecewa dan tertekan dengan
sistem penjagaan kesihatan negara.
Kumpulan doktor kontrak berkenaan juga dilaporkan tidak berganjak
daripada keputusan mereka untuk meneruskan tindakan itu meskipun
dinasihatkan KKM untuk tidak berbuat demikian.
Jurucakap kumpulan dikenali Mogok Doktor Malaysia
di Instagram, mendakwa seramai 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan
akan menyertai mogok berkenaan dengan tidak akan hadir bertugas selama
tiga hari, sama ada melalui cuti sakit atau cuti kecemasan.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, dilapor menegaskan memahami kesukaran dialami golongan berkenaan, namun mogok bukan penyelesaiannya.
"KKM ada mengeluarkan peringatan kepada doktor dan mengingatkan mereka mengenai kepentingan perkhidmatan kesihatan," katanya.
Ditanya sama ada KKM akan mengambil tindakan terhadap doktor
kontrak yang terbabit dalam mogok berkenaan, Dr Zaliha berkata mereka
tertakluk integriti penjawat awam dan etika perkhidmatan awam.

0 Komentar