KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
terperangkap dalam pertuduhan politik sehingga memerlukan juga bantuan
pemimpin politik untuk proses pengampunan.
Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata Najib
menghadapi pertuduhan politik untuk membunuh karakternya, sehingga
beliau memerlukan pertolongan politik dalam proses permohonan
pengampunan.
Mohd Zuhdi berkata, kitaran pertuduhan politik yang berlaku setiap
kali kerajaan bertukar tidak akan dapat menyelesaikan isu integriti dan
pembasmian rasuah dalam politik negara.
Beliau berkata, parti politik yang sedang berkuasa mesti mencapai
persetujuan bersama untuk berhenti melakukan pertuduhan politik yang
bertujuan menumbangkan lawan secara membina persepsi tidak benar dan
membunuh karakter pemimpin.
"Pertuduhan politik tidak dapat menyelesaikan masalah integriti dalam
berpolitik dan politik wang. Parti yang berkuasa akan berusaha mendakwa
lawan politik mereka dengan mengerahkan agensi kerajaan yang mereka
terajui, seperti yang dilakukan terhadap BERSATU sekarang.
"Persoalan sama ada tuduhan itu betul atau tidak bukanlah
perkiraannya. Tetapi yang penting persepsi politik dapat dibina terhadap
BERSATU dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk memastikan lawan politik
kecundang.
"Sekiranya parti atau pimpinan politik yang dituduh berjaya pula
menerajui kerajaan selepas itu, mereka pula akan membuat perkara sama
terhadap lawan mereka.
"Jika pemimpin mereka didapati bersalah sebelum ini, jalan dicari
untuk membebaskan seperti yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) pada
2018 dengan mengusahakan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan
menarik balik kes banglo Lim Guan Eng.
"Sebenarnya, kitaran inilah yang dihadapi oleh Najib sekarang.
Pertuduhan politik yang akhirnya memerlukan penyelesaian campur tangan
politik," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Muhyiddin, 75, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden
BERSATU didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah
RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd,
Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti
berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri,
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan di Putrajaya di antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021
mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan
haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan dalam
akaun CIMB Bank milik BERSATU.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara
KL, Jalan Stesen Sentral di sini di antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai
2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022 mengikut Akta Pencegahan
Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil
Daripada Aktiviti Haram 2001.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam
pada 13 Mac lalu atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram
berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini
untuk dibicarakan bersama.

Mohd Zuhdi mengulas kenyataan bekas Ahli Majlis Syura Ulama PAS,
Zaharudin Muhammad dalam rakaman video dikongsi dalam laman Facebook
Najib Razak, bahawa langkah pengampunan diraja untuk bekas Perdana
Menteri itu lebih baik berbanding mengekalkannya dalam penjara sehingga
tempoh hukuman berakhir.
Yang Dipertua PAS Subang itu antara lain dilapor berkata, yang lebih
dekat dengan keadilan dan Islam apabila tersalah melepaskan orang
bersalah, yang lebih baik berbanding tersalah menghukum orang yang tidak
bersalah.
Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas rayuan
terakhirnya terhadap sabitan bersalah kes SRC International ditolak
Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.
Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi berpandangan kes SRC itu bukan
satu-satunya pertuduhan politik yang berlaku, sebaliknya ia turut
membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang turut dihadapi
Najib, selain kes Yayasan Akal Budi membabitkan Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; dana Jana Wibawa membabitkan
Muhyiddin; Pandora Paper dan seumpamanya.
Katanya, semua kes itu mungkin boleh disabitkan di mahkamah, namun
tidak menafikan motif awal pendakwaan pertuduhan politik, bertujuan
menumbangkan lawan politik yang turut dihukum secara maya sebelum
mahkamah membuat keputusan.
"Seandainya Najib tidak didapati bersalah dalam kes SRC sebelum ini,
saya yakin akan ada tanggapan mahkamah di Malaysia tidak boleh
dipercayai dan seumpamanya.
"Dalam mengemuka saranan ini, saya sama sekali tidak berkompromi
dengan persoalan integriti dan pembasmian rasuah, namun usaha untuk
mendukung integriti dan membasmi rasuah tidak dapat dilunaskan dengan
pendakwaan politik.
"Ia dapat dilunaskan melalui agenda yang bersifat mencegah seperti
menggubal Akta Kawalan Dana Politik, mekanisme pengisytiharan harta
anggota pentadbiran yang tepat, membebaskan agensi penguatkuasaan serta
sistem perundangan daripada cengkaman eksekutif, mewujudkan institusi
hisbah/mazalim dan lain-lain," katanya.

0 Komentar