TUMPAT: Kerajaan Perpaduan meraikan agenda Proklamasi Orang Melayu
yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi
mahu menumpu perhatian kepada Konvensyen Nasional Ahad ini.


Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin
Nasution Ismail, berkata gabungan itu akan terus memperkukuh kerjasama
pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan dan menyifatkan kerajaan yang
ada sekarang hasil daripada gabungan yang sangat stabil.



"Pihak tertentu boleh teruskan (proklamasi) dan kami akan terus fokus
kepada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang akan berlangsung
pada 14 Mei ini, iaitu akan gabungan 19 parti politik.


"Belum pernah dalam sejarah politik negara sebuah Kerajaan Perpaduan
diisi dengan 19 parti politik. Tunku Abdul Rahman dulu dia gabungkan
tiga parti etnik terbesar. Tun Abdul Razak pula gabungkan Barisan
Nasional dan gabungan itu semua diteruskan sekarang dalam gabungan 19
parti politik.


"Kami bukan saja akur dengan titah perintah ke bawah duli tuanku yang
mahukan Kerajaan Perpaduan ini diwujudkan tapi kami juga terjemahkan
dalam bentuk satu gabungan politik yang memberikan kestabilan politik,"
katanya di sini, hari ini.


Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, selain kestabilan
politik yang menjadi fokus Kerajaan Perpaduan, ekonomi dan pembelaan
rakyat juga diutamakan.iau berkata, sebagai sebuah gabungan dan mewakili segenap
wilayah di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak, beliau enggan terlalu
mengambil perhatian agenda proklamasi.


"Kami ini sebuah gabungan yang inklusif, mewakili segenap wilayah
Semenanjung dan Sabah, Sarawak juga. Malah, kami mempunyai gabungan
pelbagai rupa etnik," katanya.