Oleh KIM SYAZIE

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menafikan dakwaan Presiden Pas,
Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa PKR ada menawarkan parti itu untuk
menyertai Kerajaan Perpaduan.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen
Pandan berkata, pihaknya juga tidak tahu bagaimana dakwaan itu timbul
sedangkan beliau terlibat secara langsung dalam pembentukan kerajaan
selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

“Saya
tak pernah dengar (dakwaan Pas ditawarkan masuk Kerajaan Perpaduan)
(sedangkan) saya adalah antara tiga individu dalam PKR yang banyak
merundingkan pembentukan Kerajaan Perpaduan selain (Presiden PKR) Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan (Setiausaha Agung PKR) Datuk Seri Saifuddin
Nasution Ismail.

“Saya tidak tahu ini cerita zaman bila tapi saya boleh bagi tahu,
sepanjang saya terlibat dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan, saya tidak
tahu langsung tentang perkara ini (tawaran), kecualilah ada sesiapa
yang lain (yang buat tawaran),” katanya seperti dilapor Bernama semalam.

Semalam, Abdul Hadi dipetik sebagai berkata pernah dihubungi beberapa
kali oleh “orang tertentu” yang didakwa menawarkan Pas menyertai
Kerajaan Perpaduan.