Menjelang sambutan Aidilfitri
beberapa hari lagi, mari kita mulakan tulisan ini dengan mengenang salah
satu lagu malar segar Allahyarham P Ramlee, iaitu Dendang Perantau.

Lagu
hari raya ilham anak Pulau Pinang itu memang diketahui ramai selepas ia
seakan-akan dendangan wajib buat sesiapa saja yang mahu merasakan
kemanisan hari raya.

Begitulah suasana di negara ini setiap kali
menjelang Aidilfitri sejak lebih enam dekad. Aidilfitri tidak akan
lengkap tanpa Dendang Perantau yang liriknya dikarang oleh S Sudarmaji
itu.

Ada tiga lagi lagu hari raya dicipta P Ramlee iaitu Suara Takbir dan Selamat Hari Raya yang dipopularkan oleh Ahmad Jais. Manusia Miskin Kaya merupakan lagu hari raya pertama ciptaan P Ramlee yang dinyanyikan oleh Nona Asiah pada awal 1950-an.

Generasi
selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah makhluk yang sebahagian besar
daripadanya merantau dari tanah kelahiran ke daerah lain untuk mencari
kehidupan lebih baik. Kehadiran Syawal kemudian menggamit naluri
masing-masing untuk pulang ke kampung halaman kerana di sanalah sejarah
kehidupan bermula.

Pedulilah walau betapa hebatnya kehidupan di perantauan, kampung halaman mempunyai tempat yang amat lunak dalam sanubari.

Dendang Perantau
- dan sebahagian besar lagu klasik raya - dicipta sebelum kerajaan Umno
mendapat ilham memperkenalkan DEB. Ilham itu tercipta selepas tragedi
13 Mei 1969.

Hidup berdagang adat lelaki

Rusuhan
bukan perayaan dan bukan juga lagu raya. Rusuhan mendorong Umno sedar
Melayu perlukan pembelaan dan mereka perlu menjadi perantau untuk
melaksanakan agenda nasional.

P Ramlee adalah ikon nasional yang
klasik dan bertaraf legenda. Apabila nafasnya terhenti pada 1973 dia
'tidak mati' bersama tertanamnya jasad itu. Dia tetap 'hidup' kerana
hasil seni dan pemikirannya terus merentasi sempadan zaman dan massa.

P
Ramlee pernah berseloroh kepada media dengan berkata: "Apabila umat
Islam menyambut hari raya bererti menyambut hari lahir saya juga."

Seniman
itu dilahirkan pada 22 Mac 1929 dan dikaitkan dengan 1 Syawal 1346
Hijrah. Sejauh mana ketepatan Syawal dengan kelahiran P Ramlee masih
misteri.

Namun P Ramlee membuktikan lagu-lagu Aidilfitri
ciptaannya 'berhantu' seolah-olah ia ada kaitan dengan peribadi semua
orang. Dia juga bersebati untuk menjadi sebahagian daripada suasana hari
raya sehingga kini.

Tanpa masa lalu, manusia tidak akan
memperoleh masa kini dan hari depan. Hidup berdagang adalah warisan
kejantanan seseorang lelaki.

Lelaki Bugis terkenal kerana
pelayaran dan penjelajahan merentasi Selat Makassar. Anak Jawa terkenal
kerana kerajinan dan kesungguhan ikhtiar di perantauan. Lelaki asal
Minangkabau akan dipandang hina jika tidak berdagang kerana tanah adat
memerlukan jejaka perkasa.

“Anak lelaki tak boleh dihiraukan
panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalau perahunya telah dikayuhnya
ke tengah, dia tak boleh surut palang, meskipun bagaimana besar
gelombang. Biarkan kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia
daripada membalik haluan pulang.”

 Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Sejarah
peradaban Melayu bermula dengan pelayaran dan mencari kehidupan lebih
baik di luar lingkungan sendiri. Membina kehidupan dan menambah zuriat
adalah tradisi yang akhirnya membentuk identiti baru sebagai perantau.

Pun
begitu kehebatan seseorang di perantauan akan tercabar apabila takbir
Aidilfitri bergema. Hati akan bergelora mengajak pulang ke kampung
menjelang Syawal.

Tradisi balik kampung adalah kemuncak manifestasi kerinduan kekeluargaan dan tanah kelahiran.

'Raya' yang lebih besar

Dianggarkan
dua juta kenderaan akan berjemaah di jalan raya menuju pelbagai
destinasi dengan mimpi dan harapan yang tidak jauh berbeza. Orang tua di
kampung pula menanti anak, menantu dan cucu kembali dengan selamat
walaupun kehadiran mereka hanya meriuhkan perdesaan untuk seketika.

Perantau
pula pulang dengan membawa pelbagai cerita - atau dongeng - yang
dipunggah dari kota. Cuma kisah duka dan kepahitan di perantauan jarang
diceritakan kerana lebaran adalah detik untuk berkongsi kemeriahan.

Tahun
ini Aidilfitri lebih istimewa kerana ia berlangsung kira-kira dua bulan
sebelum pilihan raya negeri (PRN). Perantau dari Kelantan, Terengganu,
Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan wajib berdepan dengan
kerajaan negeri atau kluster kepartian.

Hari raya bukan sekadar
masa untuk bersalam dan ziarah-menziarahi. Lebaran era kerajaan
perpaduan Madani adalah masa untuk bercerita tentang politik dan
kepartian kerana itulah topik paling memberahikan dalam kalangan bani
Melayu.

Perantau harus bersedia berdepan dengan majlis politik
yang mengambil kesempatan kedatangan Syawal untuk berkempen dan
memancing undi.

Bagi kebanyakan orang Kelantan, mereka mempunyai
tiga hari raya untuk menggamit pulang perantau ke kampung halaman. Ia
bukan sekadar Aidilfitri dan Aidiladha, malah 'raya' yang lebih besar
ialah pilihan raya.

Jika
hari raya biasa mereka balik kampung untuk meraikan lebaran, pilihan
raya pula adalah masa untuk mengundi dan melupakan seketika nikmat hidup
lebih baik dan selesa di perantauan.

Politik dan bani Melayu
sentiasa menjadi topik menarik. Jangan terperanjat jika Syawal tahun ini
adalah masa untuk lebih bercerita tentang politik walaupun ia tidak
pernah dianjurkan P Ramlee melalui lagu-lagunya sejak puluhan tahun
silam.

Pada 1973 - 1974 Umno dan BN melakukan kecuaian semasa
membentuk kerajaan campuran peringkat persekutuan dengan memberi jawatan
Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah kepada Presiden PAS ketika itu, Asri
Muda.

Asri menggunakan jawatannya dengan membawa ahli PAS dari
Kelantan ke pelbagai tanah rancangan Felda di seluruh negara. Justeru
sejak 1974 pengaruh PAS membiak secara evolusi di tanah-tanah rancangan
melalui peneroka.

Kader PAS berkembang dengan pesat di kawasan
majoriti Melayu sehingga kini dan terbukti pada PRU15 lalu PAS
menggantikan suara Umno di kawasan Melayu.

Sejarah bermula dari
gerakan evolusi yang membantu persekitaran pemikiran masa kini.
Aidilfitri menjelang untuk kita berfikir dan menikmati kehidupan sebagai
perantau di maya ini.

Politik, budaya dan resam balik kampung bukan tercipta dengan sendiri.

Benarlah kata P Ramlee: Di hari raya, terkenang daku kepada si dia. Ya 'dia' yang bukan milik kita lagi!


IMLAN ADABI adalah penyair yang merakam kehidupan tanpa kluster dan kasta.