Oleh
Petang itu saya tiba-tiba disapa seorang lelaki Arab di luar rumah
yang nampaknya Inggeris beliau amat kepelatan. Dia bukan peminta sedekah
atau penagih perhatian di hujung Ramadan. Di tangannya ada sekotak
hadiah dan sepucuk surat. Ternyata beliau utusan. Dia nampaknya begitu
komited dengan tugas dan benar-benar bersungguh.
Menjelang waktu berbuka, saya menanggalkan balutan kotak
hadiah yang diberikan. Ternyata di dalamnya terdapat dua jenis kurma
dari Palestina yang menggiurkan, bersama-sama sebotol minyak zaitun nan
berkualiti. Orang yang menghadiahkan saya anugerah bermakna itu ialah
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim.
Dalam
surat yang ditulis buat saya itu, Saudara Steven memberitahu yang
beliau “mengirimkan sedikit buah tangan produk hasil bumi Palestin’,
yang mana ‘produk ini dipasarkan di Malaysia oleh warga Palestin yang
bermastautin di negara kita”.
Apa yang mencengangkan saya ialah, dalam warkah itu, Steven mencatat
begini; “saya semakin bertekad bahawa perjuangan Palestina mempunyai
pelbagai sisi; ada perjuangan revolusi melawan rejim penindas, ada
perjuangan siasah mengecap merdeka, ada perjuangan sastera dan budaya
mengingatkan dunia kepada keindahan bangsa Palestin, ada perjuangan
ekonomi bagi membina kemandirian rakyat Palestin.”
Saya berasa sebak. Dari sudut pandang Steven, beliau ikut menyumbang
untuk perjuangan kemerdekaan Palestin dengan cara “menggalakkan komuniti
Palestin di Malaysia untuk terus berniaga dan memajukan ekonomi
Palestin.” Maka Steven mengkhabarkan yang dia memang melanggani pasar
Palestin ini agar sedikit pun beliau ada jasa dalam membina ekonomi
bangsa yang sedang berjuang melawan cengkaman penjajah.
Beliau menyatakan lagi, yang beliau menginsafi nasib “ekonomi jika
tanah pusaka dibelenggu penjajah.” Tentu yang dimaksudkan Steven ialah
kuasa Zionis nun di sana.
Setiap kali Ramadan, di Palestin, khusus Masjidil Aqsa akan berdepan
dengan gempuran, gertakan, gugahan, dan ganas-ganasan penjajah. Sekali
lagi tahun ini, rumah ibadat sesakral al-Aqsa dicerobohi dan dalam
proses yang penuh kejahanaman itu, ramai yang tertangkap dan
dicederakan. Minggu ini terdapat dua lagi rakyat Palestina dibunuh di
Nablus.
Perjuangan rakyat Palestin perjuangan semua, tidak terhad kepada
bangsa dan agama. Sesiapa sahaja yang ada peri kemanusiaan harus
mempunyai hati dan jiwa untuk membantu agar Palestina merdeka.
Masyarakat kita juga perlu mengerti yang bahagian dari Palestina juga
terdapat mereka yang bukan Islam. Ia bukan sahaja isu atau subjek khas
untuk muslimin dan muslimat. Sebagai contoh, ikon jurnalisme Palestina,
Shireen Abu Akleh, yang dibunuh tentera Zionis tahun lalu seorang
Kristian. Beliau ‘milik’ semua umat Palestin. Kerja kewartawanan Abu
Akleh amat menggerunkan Israel apabila mendiang melakukan pendedahan
demi pendedahan akan kejahanaman Zionis.
Saya
sudah banyak kali menyebutkan yang umat Islam mesti mengangkat isu
Palestina ini bukan sebagai isu umat, tetapi sebagai isu seluruh
manusia. Ia mesti diangkat sebagai isu hak asasi manusia.
Pada 2021 misalnya, apa yang menimpa Palestin mendapat
perhatian ramai yang bukan Islam. Di negara kita misalnya, pada tahun
tersebut, Setiausaha Antarabangsa DAP, Teo Nie Ching, dilaporkan berkata
betapa “insiden ke atas rumah ibadat adalah perbuatan keganasan dan
tidak sepatutnya berlaku terutama semasa Ramadan dan Aidilfitri juga
bakal tiba.” Di peringkat sejagat; ahli Kongres AS, Pramila Jayapal,
Marie Newman, dan Alexandria Ocasio-Cortez menyuarakan rasa jengkel
mereka terhadap apa yang menimpa di kejiranan Sheikh Jarrah.
Palestina menurut saya mesti diperjuangkan bukan sebagai isu
umat Islam. Barulah dengan itu Palestina akan lebih dipandang secara
serius. Apa yang menimpa al-Aqsa mesti dilihat sebagai pencabulan dan
keganasan terhadap agama, iaitu penindasan dan penafian hak asasi.
Menjaja Palestina dengan takbir dan protes jalanan sahaja
tidak memadai. Menjaja Palestina dengan mengajak berkorban Aidiladha
sahaja tidak memadai. Menjaja Palestina dengan memanipulasi derma untuk
Gaza lagi-lagilah tidak memadai. Mesti ada jalan praktikal dari luar
untuk membangunkan Palestina juga. Jalan rasional. Berfikir di luar
kotak.
Maka gerakan atau titik usaha kecil seperti yang dilakukan
oleh Steven amat bermakna. Bayangkan Steven melakukan itu kepada lebih
ramai individu dan kelompok, termasuk yang bukan Islam. Kita akan
menggerakkan kesedaran yang meluas, makanya desakan untuk kemerdekaan
Palestina akan datang bukan sahaja dari umat Islam tetapi dari semua.
Masalah penjajahan yang menyayat hati di Palestina mesti
diketengahkan seperti mana nasib Afrika Selatan di bawah cengkaman
apartheid tatkala 1980-an lalu. Pekik takbir dan aksi membakar bendera
Israel mungkin hanya memuaskan hati dan memanaskan keadaan seketika.
Namun demikian ia tidak memberi sebarang usulan praktikal.
Satu
lagi yang harus diingatkan ialah isu Palestina bukan untuk direbut dan
bukan miliknya mana-mana individu atau parti. Sebagai amaran; ia bukan
kegunaan politik tempatan untuk menyerlahkan siapa lebih Islami.
Ini menjelaskan kita apabila PAS Selangor menerusi Ketua
Penerangan Nushi Mahfodz tiba-tiba menembak Perdana Menteri Anwar
Ibrahim sebagai lemah dan tidak tegas dalam menidakkan pencerobohan dan
serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa. Nushi
kononnya melihat kenyataan perdana menteri yang sekadar “heinous
crimes” itu sebagai lemah “kerana Israel tidak pernah menghormati hak
kesejahteraan rakyat Palestin yang dirampas sejak 1948.”
Apa yang mengecewakan ialah saban tahun, umat Islam hanya
akan melakukan retorika dan bentuk kempen yang sama, iaitu menjerit dan
membakar; kemudian membakar dan menjerit lagi. Apa yang Palestina dapat
dengan kenyataan keras seperti diidami Nushi? Palestina tetap tenggelam
pada bulan-bulan lainnya dan kembali memuncak jika ada tragedi menimpa.
Gerakan kecil yang dilakukan Steven itu jauh lebih bermakna
dan memberi kesan. Ketibaan lelaki Palestina dengan kotak hadiah berisi
tamar dan minyak zaitun khas itu jauh mencuit kalbu dan mendorong
perhatian berbanding kempen dengan teriak dan slogan.
Lebih-lebih kalau Palestina dimanipulasi secara memalukan
untuk kegunaan politik murahan bagi menampakkan kebolehan menjelang
pilihan raya negeri.

0 Komentar