PUTRAJAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) diminta
untuk segera menyelesaikan isu kekurangan bekalan ayam di beberapa
tempat bagi memastikan persiapan Aidilfitri tidak terjejas, kata Menteri
Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.


Ditemui pemberita selepas Program Agihan Bubur Lambuk
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Mohamad berkata
Fama akan melihat dan mencuba mencari jalan untuk menampung kekurangan
bekalan itu.


“Setakat ini saya tidak menerima laporan berapa tempat yang mengalami kekurangan bekalan ayam.


“Kekurangan sementara bekalan di sesuatu tempat menjelang musim
perayaan kadang-kadang berlaku, tapi kementerian memberi jaminan bekalan
makanan adalah mencukupi terutama bagi lapan komoditi utama iaitu
telur, ayam, daging, ikan, sayur, buah, beras dan susu segar,” katanya.


Terdahulu, sebuah media melaporkan peniaga di Pasar Besar Klang
khuatir bekalan ayam tidak mencukupi seminggu sebelum Aidilfitri di
sebalik permintaan tinggi daripada pengguna.


Seorang peniaga berkata beliau telah menempah 100 ekor ayam daripada pembekal tetapi hanya menerima 80 ekor ayam.


Media tersebut melaporkan masalah bekalan ayam dijangka melanda utara
tanah air menjelang Syawal ini ekoran isu kekurangan anak ayam yang
dialami penternak terutama di Kedah.


Sementara itu, Presiden Kelab Tani KPKM, Badrul Hisham Mohd berkata
sempena program hari ini, sebanyak 2,000 pek bubur lambuk diagihkan
kepada warga kerja Wisma Tani, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan
Jabatan Perkhidmatan Veterinar di sini.


“Ini tahun kelima penganjuran program agihan bubur lambuk
dan kita meneruskan tradisi memasak bubur sebanyak lima kawah untuk
diagihkan,” katanya.