Seramai 59,230 orang telah memohon Fasiliti Sokongan Akaun Dua
(FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat semalam sejak
dibuka pada 7 April, dengan hanya 27,705 sahaja daripada jumlah itu yang
layak, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

"Mereka
yang tidak layak itu kerana umur mereka di bawah 40 tahun, kerana kita
dah maklumkan bahawa hanya yang berumur 40 ke atas yang layak," katanya
kepada media selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Akauntan Negara
(JANM) di Putrajaya, semalam.

FSA2
ialah satu kemudahan yang bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan
pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan. Setakat ini, dua bank
mengambil bahagian dalam FSA2 iaitu MBSB dan Bank Simpanan Nasional.

FSA2
melibatkan jumlah pembiayaan maksimum RM50,000 (tertakluk kepada baki
Akaun 2 KWSP) serta tempoh pembayaran balik hingga 10 tahun.

Antara syarat yang ditetapkan ialah pemohon mesti mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP.

Ahmad
berkata meskipun kerajaan tegas tidak membenarkan pengeluaran KWSP
walaupun ada cadangan ia diberikan kepada ahli yang benar-benar
terdesak, pengeluaran KWSP bagaimanapun dibenarkan bagi tujuan
perumahan, pendidikan, kesihatan, pelan perlindungan tertentu seperti
sakit kronik dan sebahagian kos haji RM3,000.

"Kita
tak kata apabila kita tak benarkan, maka tak boleh keluar KWSP. KWSP
masih lagi boleh dikeluarkan. Ada lima perkara yang boleh dikeluarkan
untuk Akaun 2 KWSP.  Akaun 1 memang tidak dibenarkan untuk pengeluaran
kerana ia adalah khas untuk tujuan persaraan," katanya.

Ahli
Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebelum ini
dilaporkan berkata adalah lebih mudah membenarkan orang ramai
mengeluarkan simpanan KWSP berbanding menggunakannya sebagai sandaran
permohonan pinjaman.

Sementara
itu, Ahmad berkata setakat 31 Dis lepas, jumlah aset dan liabiliti yang
telah diakaunkan di Sistem Bersepadu Pengurusan Kewangan dan Perakaunan
Kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM2.85 trilion.

Beliau
berkata JANM ketika ini masih meneliti dan mencari aset-aset kerajaan
Persekutuan dalam bentuk pelaburan, harta dan pelbagai bentuk lain.

"Tahun
ini kemungkinan kita dapat RM30 bilion aset lagi untuk diakaunkan,"
katanya dan menambah majoriti aset itu berada di dalam negara.

- Bernama