Pemimpin Umno Mohd
Puad Zarkashi menyindir Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa akan
terdapat kejutan melalui penyertaan bekas pemimpin Umno ke dalam PAS.

“Kalau setakat Annuar Musa, memang sudah lama dijangkakan,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi.

Jelasnya adalah lumrah bagi bekas pemimpin Umno "cari makan" dengan menyertai parti lain selepas dipecat ataupun keluar parti.

"Tuan
Ibrahim kata, ada kejutan kerana bekas pemimpin Umno akan sertai PAS.
Itu bukan kejutan. Kalau dah namanya bekas pemimpin, dia akan ke mana
sahaja. Cari makan.

Puad Zarkashi

"Isu
pemimpin Umno melompat parti bukan baru. Umno tidak pernah terkejut.
Ada yang berkedudukan tinggi melompat parti bila parti hilang kuasa,"
katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Tuan
Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS dilaporkan berkata beberapa
bekas nama besar Umno akan menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang
pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Tindakan itu bagi
melebarkan penguasaan PN di negeri Pakatan Harapan (PH), iaitu Selangor,
Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang, selain mengekalkan negeri dikuasai
mereka – Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Sebelum ini, Naib
Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar juga juga berkata beberapa pemimpin
yang kecewa dengan kepimpinan parti mereka akan menyertai PAS dalam masa
terdekat.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Annuar, bekas setiausaha agung Umno, bakal menyertai PAS dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata bekas pemimpin Umno seperti Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin juga pernah lompat parti.

"Tun M pun melompat parti. Muhyiddin pun dua kali lima. Kalau setakat Annuar Musa, memang sudah lama dijangkakan. 

"Mereka
mungkin dapat jawatan menteri jika PN kembali memerintah. Tetapi
jawatan itu tidak kekal. Yang kekal ialah gelaran 'katak'. Itu kekal
selama lamanya. Jadi katak bukan kejutan," katanya.