Timbalan Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong menyifatkan
tindakan pembangkang keluar dewan beramai-ramai di parlimen hari ini
sebagai tanda ketiadaan idea bernas.

Katanya, Perikatan Nasional
(PB) sepatutnya menolong rakyat dengan membantu kerajaan menghadapi
cabaran kitaran gaji, produktiviti, kemahiran dan aktiviti nilai tambah
rendah. 

“Pada masa ini, pembangkang yang tidak mempunyai sebarang dasar ekonomi yang jelas cuba bermain dengan emosi rakyat.

“Mereka
menggunakan isu pengeluaran bersasar KWSP di parlimen sedangkan negara
kita sedang dalam proses pemulihan ekonomi,” kata anggota parlimen
Iskandar Puteri daripada DAP itu.

Liew Chin Tong

Dia
mengingatkan bahawa gaji median pada 2021 hanya berada pada tahap
RM2,250 sebulan dengan 50 peratus pekerja Malaysia dibayar gaji kurang
daripada itu.

Anggota parlimen PN pagi ini keluar beramai-ramai
dari Dewan Rakyat sebagai tanda protes mereka apabila Timbalan Speaker
Dewan Rakyat Alice Lau tidak membenarkan usul pengeluaran bersasar
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibahaskan.

Mereka keluar dewan setelah desakan mereka tetap ditolak oleh speaker. 

Wan
Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamil (PN-Machang) antaranya menggesa agar usul
itu dibahaskan atas alasan melibatkan kepentingan rakyat.

Antara aktivis yang menuntut pengeluaran wang KWSP mereka

Dia juga tidak berpuas hati dengan alasan menteri kewangan dan timbalannya telah menjelaskan berkenaan isu itu.

Perdana
Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini menolak gesaan itu antaranya susulan
kebimbangan terhadap wang pencen pekerja yang tidak cukup untuk kegunaan
hari tua, terutama yang simpanannya terlalu sikit.

Sementara itu, Liew juga menyifatkan apa yang berlaku hari ini sebagai “tindakan terancang”.

Dia
mengingatkan bahgawa sudah empat kali pengeluaran bersasar KWSP
dibenarkan sewaktu era pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri
Yaakob.

“Sewaktu Muhyiddin menjadi perdana menteri selepas rampasan kuasa Sheraton, beliau tertekan dengan kemelut ekonomi dan politik. 

“Pada
mulanya beliau enggan membenarkan pengeluaran simpanan KWSP tetapi
tekanan yang keras menyebabkan dia mengalah pada Julai 2021. 

“Dan sebulan kemudian beliau terpaksa meletak jawatan,” katanya.

Dia bagaimanapun mengakui dua pengeluaran bersasar pada 2020 memang merupakan keperluan.

Katanya, ketika itu kehidupan rakyat terjejas dilanda tekanan ekonomi akibat sekatan pergerakan berikutan pandemik Covid-19.