Oleh Mohd Fauzi Fadzil 

Dr Mahathir Mohamad mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas
kegagalannya menganjurkan program Proklamasi Orang Melayu dan menganggap
ia disebabkan campur tangan daripada kerajaan.

Tiada sebarang
bukti dikemukakan kecuali sangkaan dan telahan beremosi dilontarkan oleh
Mahathir melalui sidang media pada 27 Mac lalu.

Mahathir turut
melontarkan beberapa tuduhan terhadap Anwar semasa sidang media
tersebut, termasuk menganggap perdana menteri menindas dan menghalang
hak bersuara.

Semasa sebuat begitu Mahathir seakan-akan lupa
kepada tindakannya sendiri yang menghalang kebebasan media sepanjang 22
menjadi perdana menteri kali pertama dulu.

Malah
ketika itu terdapat cubaan menghalang Tunku Abdul Rahman daripada terus
mengkritik kepimpinannya melalui rencana di akhbar arus perdana sekitar
penghujung 1980-an.

Mahathir juga pernah dilaporkan Abdullah
Ahmad Badawi menghalang sebarang kenyataan dibuat Hussein Onn selepas
Umno diharamkan pada 1987. Abdullah turut mendakwa Mahathir terlibat
menghalang media membuat sebarang penyebaran berita berkenaan Operasi
Lalang.

Dalam kenyataannya Mahathir menuduh pemimpin politik
Melayu yang berada di atas tampuk kekuasaan sekarang sebagai
berpecah-belah dan menjadi punca kepada kelemahan pencapaian Melayu
Malaysia.

Dalam isu ini Mahathir seakan-akan lupa bahawa
perpecahan politik dalam kalangan kepimpinan Melayu di Malaysia adalah
disebabkan oleh dia sendiri.

Antara
perpecahan awal parti politik Melayu berlaku pada tahun 1987 apabila
Mahathir bertembung dengan Tengku Razaleigh Hamzah sehingga kemudian
melahirkan parti Semangat 46.

Mahathir kemudian bertembung pula
dengan Anwar sehingga mewujudkan Parti Keadilan Nasional, Pertembungan
Mahathir-Najin Razak pula menghasilkan Malaysia.

Selepas itu
Mahathir berseteru dengan Muhyiddin Yasin dan kemudian wujud Parti
Pejuang Tanah Air. Terbaru Mahathir 'bertembung' dengan anaknya sendiri
Mukhriz.

Anwar turut dituduh sebagai tidak mementingkan
pembangunan orang Melayu ketika dia sebenarnya membawa gagasan untuk
membangunkan semua kaum di Malaysia secara adil. Bahkan ia dianggap
Mahathir sebagai melemahkan Melayu.

Mungkin Mahathir lupa
sepanjang keberadaan dia menjadi perdana menteri objektif Dasar Ekonomi
Baru (DEB) gagal untuk dicapai. Orang Melayu gagal untuk menguasai 30
peratus ekuiti seperti yang disasarkan DEB. Pada masa sama anak-anaknya
mencapai tahap jutawan hasil perniagaan masing-masing.

Secara
keseluruhannya Mahathir lupa bahawa semua tuduhan yang dilemparkan
kepada Anwar sebenarnya menggambarkan kegagalan dia sendiri sepanjang
memerintah Malaysia dulu.

Tanpa bukti, setiap tuduhan tersebut akhirnya kembali kepada Mahathir sendiri.


MOHD FAUZI FADZIL ialah timbalan ketua penerangan Pemuda PKR Selangor.