PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor tidak dilarang
menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023
(LIMA’23), pada Mei, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Katanya, tidak ada sebarang pekeliling seperti didakwa Sanusi
sehingga hari ini yang menghalang beliau menghadiri acara berkenaan.
Beliau berkata, malah Sanusi dijemput dalam pelancaran LIMA’23 di Kuala Lumpur, baru-baru ini dan hadir pada majlis itu.
Adly berkata, kejayaan acara yang dijangkakan terbesar dalam
sejarahnya itu juga bergantung kepada kerjasama antara kerajaan
persekutuan dan kerajaan negeri.
“Kita di peringkat Kementerian Pertahanan, dasar kita mudah bahawa
kalau kita nak menjayakan LIMA’23 ini, perlu ada kerjasama daripada
kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
“Saya tak tahu maklumat beliau (dihalang hadir LIMA’23), tetapi
maklumat yang saya tahu bahawa beliau memang dijemput dalam pelancaran
LIMA’23 di Kuala Lumpur tempoh hari dan beliau hadir,” katanya menurut
Kosmo.
Sebelum ini, Sanusi dalam Facebook, mendakwa dilarang menyertai
sebarang bentuk majlis anjuran kerajaan persekutuan termasuk LIMA’23.

0 Komentar