Sehari selepas
didesak meminta maaf dan diberi kata dua, tidak ada tanda Anwar Ibrahim
akan 'melayan' tuntutan dibuat pihak PN berhubung kenyataannya
mengaitkan parti itu dengan syarikat judi.

Hari ini perdana menteri bertegas, dia tidak membuat sebarang kenyataan jika ia tidak disertakan "asas".

Pada masa sama Anwar meminta PN membaca dengan teliti kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.

“Baca kenyataan lengkap (saya) baru ambil tindakan. Tapi kalau dia nak bawa terus (untuk tindakan undang-undang), silakan.

“Saya
tak keluar kenyataan kalau saya tiada asas,” katanya kepada pemberita
selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat
Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu
ahli parlimen Tambun itu ditanya mengenai reaksi PAS dan Bersatu
berhubung tuntutan mereka yang dia meminta maaf ekoran penjelasan diberi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman di Dewan Rakyat
kelmarin.

Kelmarin media melaporkan bahawa Azalina memberitahu
parlimen, tiada kertas siasatan dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran kenyataan dibuat Anwar.

Semasa
mengadakan sidang media pada Dis tahun lalu Anwar memberi bayangan
bahawa ada dana dari syarikat judi disalurkan kepada parti tertentu bagi
menghadapi PRU ke-15.

‘Itu poltik murahan’

Menurut Azalina, SPRM tidak dapat mengesahkan dakwaan berkenaan kerana ia dalam bentuk terlalu umum.

Ia
mendorong PAS mendesak Anwar membuat permohonan maaf secara terbuka,
manakala Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi PN memberitahu pihaknya sedang berbincang dengan peguamnya untuk meneliti kemungkinan mengheret perdana menteri ke mahkamah.

Tidak
lama kemudian Azalina mengeluarkan kenyataan, kerajaan tidak pernah
menyatakan siasatan kes itu dihentikan, sebaliknya SPRM boleh membuka
fail berkaitan pada bila-bila masa.

Dia yang juga ahli parlimen Pengerang menambah, selain SPRM siasatan turut boleh dibuat oleh agensi penguat kuasa lain termasuk polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Menurut
Anwar siasatan berhubung isu dana berkaitan syarikat judi tersebut
diteruskan oleh pelbagai agensi dan tindakan lanjut diambil selepas
pihak berkuasa mendapat bukti baru.

Sementara
itu, ketika diminta mengulas mengenai pembentangan Akta Mahkamah
Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) - atau lebih dikenali
sebagai RUU 355 - Anwar menyifatkan individu yang membangkitkan isu
tersebut sebagai bermain politik murahan.

“RUU355 ni dah tiga tahun. Semasa ada dalam kerajaan dia lupa, apabila dah jadi pembangkang dia bangkit (semula).

“Itu
bukan Islam namanya. Itu politik murahan,” katanya yang merujuk kepada
ahli parlimen Pendang dari PAS Awang Hashim, yang membangkitkan soalan
tersebut dalam jawapan lisan di parlimen beberapa hari lalu.

Dua
hari lalu, dalam jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal ehwal agama) Mohd Na'im Mokhtar berkata RUU355 akan dibentangkan
bersama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah
Persekutuan).

Katanya, cadangan penggubalan akta baru itu bertujuan untuk memperkasa mahkamah syariah.