Oleh
Sekiranya saya diberi tugas untuk menggarap sebuah filem
seputar hidup dan hayat politik Anwar Ibrahim, saya akan memilih genre
muzikal. Ya, “Anwar The Musical”. Ini kerana lebih mudah menyanyikan
kisah hidup seorang Anwar, dari menciptakan sebuah dunia nyata dengan
genre biopik. Apatah lagi, genre biopik ditampilkan selalu dengan tujuan
untuk melakukan pengkanunan atau pengkultusan seseorang tokoh. Ini jauh
beda berbanding genre muzikal yang lebih bertujuan untuk meraikan.
Justeru
pemilihan genre itu sudah amat penting sebelum memilih apa yang harus
dikarang; apa yang harus didialogkan; apa yang harus didiam, dan hanya
ditampil dengan sorot mata; apa yang harus di “shot”; apa yang harus
disunting; apa yang harus diwarnakan; bahagian mana yang harus dibubuh
irama belakang, bahagian mana pula yang dikembang; bahagian mana perlu
digugurkan.
Kerja pengarahan harus dengan sepenuh hati. Seorang pengarah itu
kerjanya menunjuk arah. Kalau pengarah tidak memesrai subjeknya, maka
saat pengarah sesat dia akan membawa krew bersama-sama masuk hutan
belukar.
Para pelakon akan bekerja menghidupkan watak. Watak orang hidup (atau
sudah mati) mesti harus dikaji dengan mendalam. Malah cara ia mengunyah
makanan pun harus dipatuh. Apatah lagi telo dan lenggok gaya badan.
Sebab itu kalau muzikal kurang “tricky” kerana pada detik tertentu, ia
boleh didendangkan. Maka pelakon seringkas Madonna misalan boleh sahaja
disuruh melakonkan watak sebesar dan sepenting Evita. Tidak ada siapa
sanggup mengecam Madonna dek cuai berjalan tidak persis Wanita Pertama
Argentina itu.
Kalau biopik, genre ini memang celaka. Sebab ia boleh tergelincir
menjadi karya petaka. Bahkan dari “untold” malah bisa jadi “I told you
so”.
Demikianlah rumitnya emosi dan perasaan setelah menonton “Anwar”.
Sukar untuk seorang pengamat filem seperti saya (ya, terpaling pengamat)
untuk memisahkan dirinya dari era 1998. Maksudnya, kalau pun dia
menempuh 1998, dia masih boleh melihat dari lensa kamera. Busuk-busuk
pun, lebih baik dibikin dokumentari sahaja. Jauh lebih tidak berisiko.
Tetapi itulah kalau takut dengan risiko biopik, usah bicara soal filem.
Kasihan, demikian dalam fikiran saya. Sayang sekali “Anwar” tidak
dikerjakan dengan baik. Sebagai seniman, kita memang boleh menduga karya
mana yang digesa, dan karya mana pula yang tidak cukup diperam. Juga,
karya mana yang sudah ranum sehingga dapat dipetik, dan kalau sempat
dirasa bersama; maka seamat manis dan lemak.
Saya
masuk menonton “Anwar” dengan jangkaan rendah. Mujurlah, “Anwar” tidak
seburuk dan sehodoh “Mat Kilau”. Bahkan, nasib baik sekali; sebagai
pengekor filem, ada banyak lagi karya buruk yang pernah saya tonton.
“Anwar” tidak sekali-kali terjunam dalam gaung. Akan tetapi walau tidak
menjunam; maaf ya, memang tidak terangkat ke tiang bendera. Makanya,
filem ini memang tidak boleh dijadikan panji perjuangan Anwar. Bahkan,
untuk musuh beliau, serasa geli-geleman. Tidak hairan kalau ada orang
Pejuang atau GTA lontar popcorn.
Untuk anak baharu yang mengenal Anwar, dikhuatiri yang
tercetus daripada kelopak bibirnya; ‘Mehhh?’. Untuk penonton masa
hadapan (anak-anak kecil generasi TikTok yang akan membesar), mereka
akan ‘swipe left’.
Jadi ini memang filem untuk penggemar, penyanjung, dan
mereka yang segenap hati dalam nafasnya menzikir Anwar. Untuk mereka
yang siuman seni, perasaan setelah menonton “Anwar” sememangnya berbaur
semak-samun belaka.
Garapan naratif “Anwar” dikatakan berakar perca perjuangan
yang tidak tersempurnakan untuk dikisah. Ia bahkan dipertahankan sebagai
kenyataan pahit (Laporan Suruhanjaya Diraja RCI 1999). Namun, ada
banyak dalam dunia seorang Anwar boleh dipilih untuk dijelmakan. Sayang,
sisi-sisi itu yang lebih manusiawi untuk dipadu-pantakkan diabai dan
tidak dipedulikan. Maka “Anwar” jadi kering-kontang. Plot tergunting,
kemudian tertampal, selepas itu diguling, ditambah tergulir akibat dan
sebab tiada pucuk pangkal. Ada bahagian boleh basah-basah nikmat,
terabai tidak dicucuh.
Masalah terbesar filem ini naratifnya. Lakon layarnya.
Mengapalah Zunar tidak benar-benar duduk bekerja dengan seorang
pengarang untuk cerita sepenting ini? Sayang sekali. Pun, filem ini
bukan propaganda. Banyak ciri propaganda yang tiada. Saya malas
menjejerkan nama sarjana dan teori untuk menyokong kenyataan itu, saya
bukan terpaling pengamat filem. Hanya, sebagai pengarang dengan
pengalaman lebih dua dekad, sebagai sebuah filem yang ingin sekadar
bercerita yang “untold”, ada banyak pula perkara yang “untold” itu
sepatutnya tidak perlu pun “tell”.
Apa lah perlunya membazir minit berharga untuk ditunjukkan
Kak Wan duduk menanti di pintu Bukit Aman. Atau ada banyak cara untuk
menunjukkan ketegasan Anwar terhadap adik beradiknya. Tidak mesti di
meja makan dengan cekodok. Maka masalah pertama “Anwar: The Untold
Story” ialah, Zunar sebagai penulis memiliki banyak maklumat, dan
cerita; dan semua ingin dilonggok sekali. Padahal banyak yang perlu
dipilih.
Ada
satu hukum dalam filem, kalau boleh ditunjukkan dengan gambar; tidak
payah disuruh berdialog. Ada hukum memang untuk dilanggar (jangan potong
barisan?); ada hukum boleh dilentur (menonton Coldplay?); ada hukum
boleh ditabrak kalau sudah pakar (mencampur adukkan Kantonis dan kata
ekor lah); ada hukum terpaksa dilanggar (semacam jangan mengundi DAP
untuk ahli Umno tetapi bila berdepan PAS maka jangan dipersoal); pun,
jangan sekali-kali melanggar hukum dialog di atas. Itu rukun filem.
Macam Rukun Negara. Sebab-musababnya amat buruk kalau dilanggar. Sebab
terjerumus menjadi seperti “Anwar”.
Lakonan Farid Kamil boleh jadi lebih berkesan. Kesempatan
sebaik ini sayang sekali tidak digunakan. Farid memerlukan seorang
“coach” lakonan untuk kerja-kerja tertentu, termasuk yang ini. Seorang
karyawan bila tiba di satu takah memerlukan magis yang lebih lagi. Kalau
tidak dibantu nanti kekal hambar. Farid bukan di usia Hun Haqeem.
Kadang persaingan kita bukan dengan orang lain, tetapi kita lebih
bersaing dengan diri sendiri.
Acha Septriasa yang membawa watak Wan Azizah juga patut jadi
lebih cemerlang. Cuma terkesan pelakonnya tidak cukup melakukan
penyelidikan dan kajian. Mungkin isunya ‘ketergesaan’ itu. Terima kasih
Acha, lantaran sedaya upaya mencuba. Seorang pelakon profesional
sejujurnya kadang memerlukan jurulatih bahasa dan dialek. Masakan Acha
tidak pernah menonton “Spencer”? Atau filem “The Iron Lady”? Busuk-busuk
pun menonton Olivia Colman dalam “The Crown”?
Hasnul Rahmat yang membawa watak Mahathir diketengahkan
penuh hati-hati. Memang ada imbasan bekas perdana menteri itu di sini
sana, tetapi serasa belum meyakinkan.
Seperti saya nyatakan, saya tidak mengesani ciri propaganda
dalam “Anwar”. Ternyata Zunar hanya mahu bercerita, tetapi beliau tidak
memanfaatkan sosok misterius Anwar semaksimumnya. Ada banyak latar Anwar
boleh dihantar, awal zaman siswa di UM misalnya. Untuk membantu
menguatkan ketokohan protagonis.
Kedua, masalah “Anwar: The Untold Story” ialah suntingan.
Sepertinya pengarah tidak bekerja dengan penyunting bersekali, dan tidak
pula dengan pengarang. Terlalu banyak adegan melompat. Untuk audien
dari era 1998, mereka barangkali boleh menghubungkan arghh ini bekas
menteri kanan si polan-polan, itu tokoh korporat anu si anu. Akan tetapi
untuk mereka yang tidak menempuh 1998, loncatan adegan dan suntingan
yang tidak rapi membuat nanar. Di satu detik, tidak semena-mena Anwar
mengeluarkan kepala dari jendela kenderaan dengan latar suara biduanita
negara.
Nasib
baik sekali Siti Nurhaliza itu ada di selit sayup-sayup. Maka
paling-paling tiada pun, kita boleh mendengar Juara Lagu 1997 (Aku Cinta
Padamu), dan Bintang Paling Popular Berita Harian 1998 (tahun Anwar
dipecat) ini menyanyikan lagu ‘Menjaga Cintamu’. Sedap lagunya. Mungkin
menang Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun mendatang.
Itulah sebabnya saya, kalau ditugaskan pejabat PMO
menaratifkan Anwar di sinema; saya akan lebih rela menjadikan “Anwar”
dalam genre muzikal. Boleh disuruh Dayang NurFaizah, Jamal Abdillah,
Dayang Ku Intan, Anuar Zain, Ella, Awie…penyanyi-penyanyi hebat kita
untuk berlakon.
Dr Vasantha Ponniah boleh jadi Francesca Peter. Percayalah,
dialog kaku kalau didendang dengan merdu mungkin kita akan lekas
ampunkan kalau skripnya terlebih syahdu. Contohnya, melihat Faizal Tahir
menyanyi kita akan terlupa bahawa dia melakonkan watak sebagai Azmin
Ali.
Justeru, rasa hendak marah langsung tidak jadi.
Kasihan, demikian dalam fikiran saya. “Anwar” ini
sesungguhnya refleksi industri filem kita iaitu ada banyak potensi,
tetapi sayang jatuh ke tangan orang yang salah; dan boleh pula mereka
ini tidak rasa bersalah.

0 Komentar