PETALING JAYA: Hanya individu yang berkelayakan akan dilantik bagi
menerajui badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah
Kementerian Kewangan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata pelantikan ahli
lembaga pengarah (ALP) dalam badan berkanun persekutuan (BBP) dan
syarikat-syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) bukan
semata-mata untuk mengisi kekosongan tetapi berdasarkan keperluan
masing-masing.
Dalam
jawapan bertulis di Parlimen, beliau berkata latar belakang dan
keupayaan calon diambil kira sebelum mereka dilantik ke jawatan itu.
“Justeru itu, hanya individu yang berkelayakan atau memenuhi kriteria
‘fit and proper’ sahaja yang dilantik untuk menerajui Lembaga Pengarah
BBP dan syarikat-syarikat MKD,” katanya.
Anwar berkata pelantikan itu juga mengambil kira keperluan dan ‘core
business’ BBP dan syarikat itu sendiri bagi membolehkan lembaga pengarah
berkenaan beroperasi pada tahap yang optimum.
Katanya, calon mesti mempunyai sekurang-kurangnya ijazah, atau
kelayakan akademik lain yang setara, pengalaman dalam industri
berkaitan, dan kepakaran yang berkaitan dengan badan kawal selia atau
GLC.
“Kriteria berkenaan merupakan kaedah bagi meningkatkan keupayaan
barisan kepimpinan ALP BBP dan syarikat MKD dengan memperluaskan serta
mempelbagaikan lagi komposisi ahli-ahlinya daripada segi kemampuan,
kepakaran dan pengalaman.
“Pengalaman sama ada dalam bidang operasi, teknikal, profesional atau
pendedahan spesifik kepada sektor berkaitan adalah penting bagi
memastikan mereka dipilih bagi memantapkan struktur lembaga pengarah,”
katanya.
Anwar
berkata semua pelantikan lembaga pengarah, termasuk pelantikan politik,
mesti melalui proses tapisan bagi memastikan calon berkemampuan untuk
memegang jawatan itu.
Beliau menambah bahawa calon untuk GLC yang tersenarai di
Bursa Malaysia diteliti oleh Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan serta
Lembaga Pengarah syarikat masing-masing.
Calon juga ditapis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), Jabatan Insolvensi, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah
Persekutuan, dan Bank Negara Malaysia.

0 Komentar