Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Santai Petang dan Dialog bersama anak muda Langkawi di Kolej Vokasional Langkawi hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana
Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Santai Petang dan Dialog
bersama anak muda Langkawi di Kolej Vokasional Langkawi hari ini. - Foto
BERNAMA

LANGKAWI: Golongan muda tidak boleh menjadikan hak sebagai pengundi
di negara ini dengan memberikan undi tanpa berfikir dan menilai kesannya
kepada mereka, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata, sebagai golongan yang bakal
memimpin negara pada suatu masa nanti, anak muda perlu mempunyai nilai
dalam idealisme, termasuk dalam percakapan dan amalan.


Jelasnya, tindakan menggunakan hak mengundi tanpa mengambil kira
kesan kepada masa hadapan hanya akan menyebabkan kerugian apabila pihak
yang melakukan penyelewengan dipilih menjadi pemimpin.


"Anak muda kena ada nilai dan idealisme, bukan anak muda yang
pertahankan penyelewengan. Orang yang ada nilai tidak melakukan
penindasan dan pemerasan.


"Apa juga tindakan yang diambil anak muda, termasuk dalam kuasa
politik, kena fikir dahulu. Saya nanti nak kerja mana, gaji berapa?
Gunakan hak memilih dengan berfikir.



"Ada kata undi Anwar nanti orang Cina berkuasa, Islam akan
dibenamkan, itu tak betul kalau kita percaya. Maknanya, kita tertipu
dengan propaganda politik, kena ada alasan dan hujah, sebab itu anak
muda mesti dilatih untuk berfikir," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sesi Santai Petang dan
Dialog Bersama Perdana Menteri di Kolej Vokasional Langkawi (KVL), di
sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, anak
muda tidak boleh memiliki berperangai lebih teruk daripada golongan
terdahulu yang melakukan pelbagai perangai negatif.


Katanya, golongan muda perlu melihat dan mengkaji setiap maklumat
diterima dan tidak mempercayai kepada mana-mana pihak yang cuba
mengambil kesempatan ke atas mereka.


"Ada anak muda tetapi perangai lebih teruk daripada orang tua, ada
anak muda tetapi menjadi tali barut apabila mempertahankan penyelewengan
dan penindasan.


"Apa erti anak muda sebegitu, menjadi anak muda ikut sahaja yang diperkatakan dan menjadi seperti mereka yang tidak berfikir.


"Anak muda yang kita mahu mesti ada nilai dari segi keyakinan dan
minat hendak bawa perubahan, minat dalam menimba ilmu, minat dan
cita-cita membawa kebaikan, itu yang disebut idealisme," katanya.