KOTA BHARU: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kelantan kecewa
sekiranya pemberian wang saguhati kepada Ahli Lembaga Pengarah Air
Kelantan Sdn Bhd (AKSB) benar berlaku, ketika isu air di negeri itu
tidak selesai.


Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia
Negeri Kelantan, Azwan Mat Hussain, berkata sebagai rakyat Kelantan
beliau rasa terkilan dengan perkara itu.


Katanya, jika pemberian itu benar, ia akan mengguris hati rakyat yang masih dibelenggu dengan masalah air yang berpanjangan.


"Walaupun pemberian wang saguhati itu tidak salah dari segi
undang-undang, namun ia memberi kesedihan dan kelukaan kepada pengguna
AKSB yang mengalami masalah air.


"Justeru, saya meminta pihak AKSB menyelesaikan masalah air ini untuk
kesejahteraan rakyat terutama pengguna AKSB," katanya ketika ditemui di
sini, hari ini.


Media semalam melaporkan, tular satu notis mengenai pemberian
saguhati Aidilfitri dipercayai kepada sembilan Ahli Lembaga Pengarah
AKSB masing-masing sebanyak RM10,000 seorang.


Selain itu turut dinyatakan dalam notis itu mengenai
pemberian sagu hati kepada semua kakitangan sebanyak RM200 dan kepada
setiausaha syarikat sebanyak RM2,000.


Mengulas lanjut, Azwan turut mencadangkan supaya kerajaan negeri
memberi peluang kepada syarikat atau pelabur lain untuk membekalkan air
kepada rakyat negeri ini.


"Saya cadang syarikat ini menjadi syarikat kedua selepas AKSB untuk
sama-sama membantu bagi menyelesaikan masalah air. Beri peluang kepada
syarikat lain dan kemungkinan isu air ini akan dapat diselesaikan,"
katanya.


Sementara itu, pemaju perumahan, Syed Gamal Syed Kechik, berkata dia
berasa sedih dengan masalah yang dialami penduduk di negeri ini.


"Sebagai contoh, saya lihat rumah saudara sendiri tidak mempunyai air
sejak sebulan lalu dan terpaksa mengambil air di masjid berdekatan
untuk mandi dan mengambil air sembahyang.


"Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan kerana bukan semua
rakyat mampu untuk membuat telaga tiub yang memerlukan kos melebihi
RM1,000," katanya.