Adun Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari membidas Setiausaha Agung PAS
Takiyuddin Hassan berhubung kenyataannya berkaitan afidavit kes Jill
Ireland dan penggunaan kalimah "Allah".
Adun DAP itu berkata kenyataan yang dibuat Takiyuddin jelas cuba mengelirukan orang awam demi kepentingan politik.
"Dia jelas cuba memburukkan DAP. Takiyuddin seperti membayangkan saya berkompromi berkenaan kedudukan Islam dan orang Islam.
"Ini
langsung tidak benar. Saya buat afidavit atas asas apa yang saya tahu
tentang Perlembagaan seperti yang dicerminkan pada peruntukan yang
terlibat, serta rangka Perlembagaan," kata pakar undang-undang itu
kepada Malaysiakini.
Dia mendakwa video berkenaan perkara
itu yang disebarkan di TikTok adalah satu lagi contoh bagaimana PAS
menyasarkan orang Islam yang "progresif" menerusi maklumat salah.
Video
tersebut dikongsikan Takiyuddin ketika sidang media di Parlimen dua
hari lalu, di mana dia mengkritik Aziz, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan
Johan dan Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom.
Menerusi afidavit
yang dikemukakan, mereka antara lain berkata tidak terkeliru dengan
penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.
"Pertama sekali, saya buat afidavit atas kapasiti peribadi dan tiada kaitan dengan DAP.
"Di bawah Perlembagaan, Islam adalah bidang kuasa negeri dan raja hanya boleh bertitah bagi pihak negeri.
"Untuk
negeri yang tidak beraja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak
dan Wilayah Persekutuan, (soal agama Islam) di bawah Yang di-Pertuan
Agong," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim
menjelaskan langkah menarik balik rayuan berkenaan dibuat bagi
membolehkan kerajaan meminda atau membatalkan semua undang-undang yang
bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu berhubung penggunaan
kalimah Allah.
Menurut Anwar Ibrahim antara langkah itu ialah
bagi membolehkan kalimah Allah hanya digunakan oleh orang Islam di
Semenanjung Malaysia, manakala untuk bukan Islam di Sabah dan Sarawak
diberikan sekatan.
Mengulas lanjut, Aziz berkata kes Jill Ireland adalah berkenaan hak penganut Kristian di Sarawak.
"Berdasarkan
pemahaman saya, salinan Bible (dalam kes Jill Ireland) bukan untuk
disebarkan kepada awam; ia hanya untuk digunakan penganut Kristian.
"Saya
berpandangan soal bagaimana orang bukan Islam mengamalkan agama dan
bagaimana mereka menyebut nama Tuhan mereka adalah bukan urusan kita,"
katanya lagi.

0 Komentar