Bak puisi, kata seorang rakan selepas membaca ayat khatimu ar-risalah yang tertera pada suatu notis "sulit" didakwa dikeluarkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) baru-baru ini.
Asalnya
sukar juga mahu bersetuju, tetapi selepas direnung-renung lebih
mendalam dan lama, diakui frasa "ruangan ini sahaja dibiarkan kosong"
pada surat tersebut membawa nilai estetika yang tersendiri.
Atau malah ia membawa nilai absurd, mungkin juga bersifat mujarad.
Lantaklah
jika dikatakan pemberian sagu hati tiga kategori itu adalah prosedur
biasa untuk AKSB bagi menghargai jerih perit pihak yang berkenaan
membekalkan air bersih kepada penduduk Kelantan.
Saya
tidak becadang untuk menyanggah hujah bernas diberikan Ketua Pemuda PAS
Kelantan Mohamad Kamal Mohamed dalam kenyataan berhubung isu itu
semalam.
Dengan bergaya dan bersahaja saja beliau mematahkan
dengan tuntas segala hujah, kritikan dan kebencian sesetengah pihak
terhadap kerajaan Kelantan, khususnya AKSB.
Saya juga sempat merenungi dengan mendalam kenyataan timbalan pengarah Urusetia Belia dan Sukan Kelantan itu.
Jelas
beliau mempunyai alasan sangat kukuh apabila mengharapkan rakyat
Kelantan agar akur saja dengan ketetapan pihak yang berkenaan.
Pengorbanan ahli politik
Apa
saja isu yang dibangkitkan, usah diungkit-ungkit lagi. Hal itu kerana
sebagai pemimpin atau pegawai kanan kerajaan, sudah tentu mereka melihat
kepentingan yang perlu dijaga berbanding sudut pandang rakyat jelata.
Sesungguhnya
imbuhan sekecil RM10,000 setahun sekali sempena Aidilfitri kepada
barisan pemikir AKSB itu terlalu wajar. Bahkan mungkin tidak setimpal
pun dengan segala kerja-kerja mereka memerah buah fikir, idea, dan
berusaha mengharungi liku-liku mehnah dan tribulasi membekalkan air di
Kelantan.
Lihatlah saja betapa buah fikir mereka itulah menjadikan
AKSB sebuah agensi yang sentiasa mempunyai altenatif untuk
menyelesaikan masalah bekalan air yang dialami rakyat yang melanggan
perkhidmatan mereka.
Cuma saya tidaklah boleh memastikan jika idea
mengambil air dari pili bomba juga merupakan hasil buah fikiran barisan
pemikir AKSB yang menerima sagu hati sekecil RM10,000 itu.

Apa pun, di sebalik insiden itu seorang kontraktor dikompaun RM100 kerana kesalahan 'mencuri' air pili bomba.
Sayu
juga menyaksikan bersusah-payahnya Kak Lah mencari jalan membekalkan
air bersih kepada penduduk setempat. Tidak padan benar dengan status Kak
Lah - atau Siti Zailah Mohd Yusoff - sebagai ahli parlimen Rantau
Panjang.
Lebih terharu apabila air yang Kak Lah agihkan kepada
penduduknya itu juga diberi percuma, seperti apa yang tertulis di kain
rentang yang tergantung-gantung pada lori-lori yang mengangkut air.
Mungkin
bagus juga disiasat jika kewujudan kain rentang itu juga hasil daripada
buah fikir barisan pemikir di AKSB berkenaan. Ia sangat bernas dan
menyerlahkan lagi keikhlasan wakil rakyat Kelantan membantu orang
kampung.
Bukan perah minda saja
Apa
pun saya pasti ia bukanlah idea yang diperah oleh minda pihak yang
menyebabkan pengguna air di negeri Serambi Mekah itu sering merungut
apabila muncung pili di rumah mereka hanya memuntahkan air karat,
berkeladak - bahkan kadang-kadang angin - sahaja.
Bukanlah saranan
mereka hingga menyebabkan rakyat terpaksa mengeluarkan modal untuk
mengupah tukang mengorek bumi untuk membuat telaga tiub demi mendapatkan
bekalan air.
Untuk yang kurang memahami, inisiatif menggali telaga tiub itu juga kadang-kadang seperti mencuba nasib menangkap tuah.
Kalau
bernasib baik, air yang keluar dari telaga tiub itu bersih dan jernih
namun ia tidak melalui proses rawatan seperti air di loji-loji milik
AKSB. Jika tidak bernasib baik, air dari telaga tiub itu boleh juga
keruh, berkeladak atau seperti teh susu.
Jika bernasib malang,
terpaksalah mereka memerah minda semula untuk mencari atau membuat
penapis untuk mendapatkan air yang lebih baik.
Selain memerah minda, sudah tentu mereka juga terpaksa memerah poket juga.

Baiklah,
isu air di Kelantan memang bukan masalah politik, tetapi kesan daripada
situasi dialami itu barangkali menyebabkan lebih banyak lagi insiden
"ruangan ini sahaja dibiarkan kosong".
Maka banyak lagi perlu
difikirkan oleh barisan pemikir AKSB untuk Aidifitri tahun-tahun
mendatang. Bermakna juga adalah wajar jika sagu hati untuk mereka
diberikan pada kadar yang lebih tinggi.
Lagi pula - seperti yang
dijelaskan pemimpin PAS negeri itu - pemberian sagu hati itu hanyalah
prosedur biasa, bukannya baru terjadi secara tiba-tiba tahun ini.
Maksudnya, ia adalah proses rutin tahunan, cuma tahun ini ia menjadi
'istimewa' apabila surat tersebut tersebar kepada umum.
Namun selepas dokumen itu tular, rakyat Kelantan tidak melenting pun sebenarnya. Tidak juga marah, tidak pun kecewa pun.
Sesetengah
mereka mungkin sekadar menghayati bagaimana rasanya diberi sejumlah
wang RM10,000 selepas berpenat lelah berfikir dan bekerja sepanjang
tahun.

Selepas
berada di bawah kerajaan PAS selama lebih 30 tahun, rakyat Kelantan
sudah faham benar - apalah sangat RM10,000 setahun itu jika dibandingkan
dengan pengorbanan besar para pemimpin dan pentadbir negeri.
Boleh
jadi dalam tempoh setahun, entah berapa malam saja mereka boleh tidur
lena selepas penah memerah minda memikirkan masalah rakyat jelata.
Akhir
kata, selepas memikirkan dengan mendalam, cermat dan teliti, timbullah
keinsafan di dalam diri. Barangkali saya tersilap malah mungkin berdosa
kerana berasa curiga.
Imbuhan itu bukanlah diberi hanya dengan
suka-suka, tetapi boleh jadi dengan duka-duka rakyat yang berbahagia
melayan hidup dengan berdepan masalah air berpanjangan.
N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini.

0 Komentar