Angkatan Belia
Islam Malaysia Negeri Kelantan (Abim) Kelantan menyifatkan pemberian
sagu hati kepada ahli lembaga pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tidak
menepati konsep fiqh aulawiyat (fiqah keutamaan) dalam pengurusan
agensi kerajaan negeri.

Apatah lagi, kata naib yang
dipertuanya Saifulnizam Muhamad, AKSB sebagai syarikat pembekalan air
terawat Kelantan pernah mengakui memerlukan suntikan dana besar bagi
menyelesaikan isu perbekalan air.

Memetik laporan
akhbar pada 14 Mei lalu, katanya, Pengurus Besar AKSB Nazmi Ghazali Azmi
berkata isu air Kelantan memerlukan sumber kewangan sebanyak RM5.03
billion.

“Namun pemberian sagu hati Aidilfitri kepada ahli lembaga pengarah AKSB tidak menepati fiqh aulawiyat kerana
pemberian sagu hati itu ialah ’mengutamakan sesuatu yang sepatutnya
dikemudiankan’, sedangkan pengamalan yang sepatutnya ialah ’mengutamakan
sesuatu yang perlu diberi keutamaan’.

“Justeru
kami menggesa ahli lembaga pengarah AKSB memperbetulkan tindakan itu
dengan membuat kenyataan rasmi berkaitan isu ini segera dan
bertanggungjawab dengan isu ini jika benar berlaku,” katanya dalam
kenyataan, hari ini.

Malaysiakini semalam
melaporkan tularnya notis kelulusan AKSB berhubung pemberian sagu hati
Aidilfitri sebanyak RM10,000 kepada ahli lembaga pengarah AKSB.

Pemberian
sagu hati itu dipercayai membabitkan sembilan ahli lembaga pengarah,
selain setiausaha syarikat didakwa menerima RM2,000 dan kakitangan
RM200.

AKSB membuat laporan polis berikutan kebocoran dokumen sulit yang menurutnya dikelaskan bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, menurut sumber.

Berdepan kritikan, Pemuda PAS Kelantan mempertahankan pemberian sagu hati tahunan itu sebagai prosedur biasa sebagai menghargai kerja-kerja memerah minda dan keputusan-keputusan dasar pihak pengurusan.