Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik
Ahmad hari ini mempertahankan kenyataan mengenai tanah rizab Melayu di
Kedah yang dilabel pembangkang sebagai suatu pembohongan.

Menurut
Nik Nazmi, kenyataannya yang menjelaskan kedudukan tanah rizab Melayu
yang berkurangan di negeri itu dibuat berdasarkan keadaan baru-baru ini.

Menulis
surat kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul ahli parlimen
Setiawangsa itu berkata demikian sebagai responsnya terhadap usul dibawa
pembangkang yang mahu merujuk da kepada jawatankuasa hak dan kebebasan
parlimen.

Melalui ciapan di Twitter, Nik Nazmi memuat naik surat
tersebut bersama surat daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah
yang dirujuknya semasa membuat penjelasan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Dalam ciapan itu Nik Nazmi turut membidan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang membantah data yang dibentangkan itu.

"Saya
telah hantar penjelasan kepada Speaker Dewan Rakyat sebagai maklum
balas terhadap usul merujuk saya ke jawatankuasa hak dan kebebasan.

"Saya sertakan surat PTG Kedah. Menteri Besar Kedah kata tanah rizab Melayu Kedah meningkat dari 1933.

"Namun, saya fokus pada tahun beliau jadi menteri besar, bukan era British atau Jepun," ciapnya.

Dalam
jawapannya kepada Johari, Nik Nazmi juga merujuk kepada satu lagi surat
daripada Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman, dengan pertanyaan
mengenai jawapannya di parlimen pada 3 April yang memetik data daripada
PTG Kedah.

Kata Nik Nazmi jumlah yang disebutnya - 716, 537.28
hektar tanah rizab Melayu - adalah seperti maklumat yang diterima
Jabatan Tanah dan Galian daripada PTG, dikemas kini sehingga 30 Nov
tahun lepas.

“Jabatan itu tidak menerima sebarang maklumat
tambahan daripada pentadbir tanah Kedah mengenai jumlah saiz tanah rizab
Melayu antara 30 Nov tahun lalu dan 29 Mac.

“Justeru, nombor yang saya berikan adalah tepat setakat ia dibacakan,” kata Nik Nazmi.

Menurutnya
lagi jumlah yang lebih besar yang dipetik oleh Tarmizi - 721,496.95
hektar setakat 19 Jan - tidak dikongsi dengan jabatan tanah dan galian
negeri.

“Semua data yang dikumpul diterima tanpa prejudis daripada
semua pejabat tanah negeri yang telah memberikan nombor terkini setiap
tahun,” katanya.

Semalam, tiga ahli parlimen diarah keluar dari
Dewan Rakyat ekoran pertikaian yang tercetus selepas Awang Hashim
(PN-Pendang) menuduh Nik Nazmi sebagai pembohong.

Selain Awang, Shahidan Kassim (PN-Arau) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) turut diarah meninggalkan dewan