Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengumumkan 30
barangan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP)
sempena perayaan Aidilfitri pada 13 April ini.
Menterinya Salahuddin Ayub berkata senarai barangan itu turut termasuk bahan utama dalam pembuatan kuih raya.
”Harga
kawalan ini (pelaksanaan) akan bermula pada minggu depan (13 April),
selama dua minggu iaitu tujuh hari sebelum raya dan tujuh hari selepas
raya.
“Ini langkah kerajaan untuk memastikan rakyat dapat
menyambut Ramadan dan Aidilfitri dalam keadaan kita masih dapat mengawal
harga yang kita tetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan
tinjauan mesra di Bazar Ramadan Rahmah Negeri Selangor di Dataran
Esplanade Eco Grandeur Park, Puncak Alam, di Kuala Selangor, semalam.
Dia
berkata walaupun harga barangan berkenaan masih belum diumumkan,
pihaknya mendapati terdapat beberapa pasar raya besar telah menjual
barangan keperluan asas dengan harga rahmah.
Dalam pada itu,
Salahuddin berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut
memberi jaminan bahawa bekalan telur mencukupi sepanjang musim perayaan
selain pihaknya akan terus melakukan pemantauan.
“Kita (KPDN) juga
akan pantau dari hari ke hari. Bukan KPDN dengar begitu sahaja dan kita
selesa sebaliknya pemantauan berterusan dilakukan. Selain itu, ayam
juga tetap dijual mengikut harga siling, kita tidak akan naikkan,”
katanya.
-Bernama

0 Komentar