Naib Presiden Amanah
Mahfuz Omar akan mempertimbang untuk memulakan prosiding menghina
mahkamah ke atas Muhammad Sanusi Md Nor susulan tindakan menteri besar
Kedah itu berkongsi semula kenyataan fitnah terhadapnya.
Mahfuz berkata dia akan meminta peguamnya untuk menyemak tindakan yang wajar diambil untuk situasi tersebut.
"Saya
akan minta peguam saya semak (untuk mulakan prosiding hina mahkamah),
apakah wajar untuk saya mengambil tindakan," katanya kepada Malaysiakini.
Mahfuz diminta mengulas tindakan Muhammad Sanusi yang memuat naik semula
kenyataan fitnah terhadapnya hari ini, sehari selepas Mahkamah Rayuan
menolak rayuannya untuk mengetepikan saman fitnah ke atasnya.
Kenyataan
itu dikongsi semula di laman Facebook Sanusi yang juga pengarah pilihan
raya PAS ketika mengulas keputusan tersebut, yang antara lain menaikkan
jumlah ganti rugi yang perlu dibayarnya daripada RM50,000 kepada
RM120,000.
“Posting inilah yang didapati saya bersalah oleh
mahkamah dan diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 oleh Mahkamah
Tinggi (+ RM15,000 kos) dan kemudian dinaikkan kepada RM120,000 oleh
Mahkamah Rayuan kerana RM50k didapati terlalu rendah oleh plaintif.

“Mereka membuat counter appeal (rayuan balas) untuk tuntut lebih tinggi,” tulisnya di media sosial pagi tadi.
Tindakan
Sanusi itu walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 November 2021
telah memerintahkan injunksi yang menegahnya atau ejen-ejennya daripada
menerbitkan kata-kata fitnah terhadap Mahfuz.
Mahfuz
yang merupakan bekas anggota Parlimen Pokok Sena memfailkan saman
tersebut pada 9 Oktober 2019 berhubung satu hantaran Sanusi - yang
mengaitkannya dengan isu pemindahan kedai judi nombor ekor Sport Toto ke
kawasan tersebut - yang dimuat naik di laman Facebooknya pada 30 Julai
2019.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata dia terkejut dengan tindakan Sanusi itu walau setelah perintah injunksi dikeluarkan.
"Saya
nampak tindakan dia memuat naik semula kenyataan itu jelas
memperlihatkan dia tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah.
"Isunya
adalah dia telah mengaibkan saya bukan soal macam itu atau macam ini
saja (seperti mana yang dikongsikan semula di Facebook Sanusi)," tegas
Mahfuz.
Mahfuz berkata dia lega dengan keputusan mahkamah dan berharap ia dapat menunjukkan bahawa Sanusi telah memfitnahnya.
"Saya
melihat dengan keputusan mahkamah akan dapat menunjukkan Sanusi ini
adalah pemfitnah nombor satu negeri Kedah," katanya lagi.

0 Komentar