PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu berkata Zuraida Kamaruddin
yang meninggalkan parti itu pada Mei tahun lepas memohon untuk menyertai
semula selepas PRU15.
Bagaimanapun permohonan Zuraida ditolak kerana beliau tidak
melepaskan jawatan menteri yang diisi atas kuota Bersatu selepas keluar
parti, kata Ketua Pemuda Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
“(Permohonan
Zuraida) Dihantar awal tahun tak silap saya,” katanya kepada FMT, dan
menambah keputusan menolak permohonan Zuraida itu sebulat suara.
Zuraida mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa
Malaysia (PBM) pada Mei 2022, kerana dikatakan tertarik dengan
perjuangan parti baharu itu.
Meskipun Bersatu menuntut calon baharu daripada parti itu dilantik ke
jawatan menteri perusahaan perladangan dan komoditi, perdana menteri
ketika itu, Ismail Sabri, mengekalkan Zuraida.
“Sebabkan dulu kuota menteri beliau itu kuota Bersatu. Sebab itu kita tolak (permohonannya),” kata Fayhsal.
PRU15 menyaksikan Zuraida gagal mempertahankan Parlimen Ampang yang
dimenanginya atas tiket PKR sejak tiga penggal lalu. PBM menang satu
daripada lima kerusi Parlimen yang ditandingi.
Sebelum ini, Zuraida diuar-uarkan sebagai presiden menanti PBM namun
tidak lama kemudian, pada Disember, parti itu mengumumkan pemecatannya.
Pada bulan sama, Zuraida menyertai NGO Muafakat Nasional yang ditubuhkan bekas pemimpin Umno, Annuar Musa.

0 Komentar