KUALA LUMPUR: Syarikat pengimport telur, J&E Advance Tech Sdn Bhd
menuntut ganti rugi fitnah sebanyak RM20 juta daripada bekas Ahli
Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana mendakwa pihaknya
diberikan kontrak untuk mengimport telur dari India melalui rundingan terus.
Menerusi surat tuntutan bertarikh semalam yang dihantar firma guaman
Han & Zi, syarikat berkenaan turut menuntut bekas Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu supaya menarik balik kenyataan
selain memohon maaf serta berjanji tidak mengulangi perbuatan.
Peguam syarikat itu berkata, dakwaan Mohamed Azmin dalam ucapannya
adalah tidak benar dan berniat jahat dengan memutarbelitkan fakta.
Ia termasuk ucapan Mohamed Azmin itu didakwa memberi gambaran bahawa
kerajaan korup dan tidak amanah serta anak guamnya tidak berprinsip
serta menipu.
"Sekiranya kami tidak menerima jawapan yang memuaskan dalam tempoh
tujuh hari dari penerimaan surat ini, arahan kami adalah memulakan
prosiding undang-undang terhadap anda," katanya.
Tuntutan itu merujuk dakwaan Mohamed Azmin terhadap ahli perniagaan,
Deepak Jaikishan yang dikatakan ada kaitan dengan isteri bekas Perdana
Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Memetik dakwaan Mohamed Azmin ketika berucap di Markas PAS dekat
Taman Melewar, Gombak pada bulan lalu, beliau mendakwa kerajaan menerusi
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberikan kontrak
import telur dari India, secara terus kepada sebuah syarikat milik
peniaga permaidani.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa pemberian
kontrak secara terus itu ternyata bercanggah dengan janji Kerajaan
Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dakwanya lagi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri
Mohamad Sabu, turut membawa ahli perniagaan terbabit dalam lawatannya
ke India sebelum ini.
Pada 28 Februari lalu, Mohamad menjelaskan hanya sebuah syarikat
diberikan kebenaran mengimport telur dari India dan langkah itu diambil
bagi menangani isu kekurangan bekalan telur dalam pasaran tempatan.
Bagaimanapun, Mohamad ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Putrajaya
daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Radzi Jidin dalam Dewan
Rakyat, mengakui syarikat import telur dari India itu tidak melalui
proses tender terbuka kerana ia adalah 'special case'.

0 Komentar