Perdana Menteri
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata orang Melayu Islam yang merupakan
kumpulan majoriti di negara ini tidak harus berasa terlalu selesa dan
angkuh sehingga menganggap kelompok lain tidak boleh diraikan.
Beliau
yang juga Menteri Kewangan berkata ia adalah antara pengajaran yang
dilihatnya ketika melakukan lawatan kerja ke Kemboja baru-baru ini,
iaitu penduduk beragama Islam hanyalah 10 peratus di dalam negara yang
majoritinya beragama Buddha.
Di Kemboja, katanya umat Islam
diraikan, masjid tidak dirobohkan, hak mereka dipertahankan, malah
diangkat sebagai menteri untuk mewakili kepentingan mereka.

"Jadi
bila saya diberi penghormatan untuk sampaikan ucapan sebelum ke masjid,
saya sebut bahawa langkah ini menunjukkan negara majoriti penganut
Buddha meraikan minoriti umat Islam dengan Iftar dan beberapa ruang
(lain) termasuk menteri seorang Muslim.
"Saya kata satu
pengajaran, sebab kita kadang-kadang bila majoriti, kita rasa terlalu
selesa dan angkuh dengan menganggap, oleh yang demikian tidak boleh
raikan kelompok-kelompok yang lain," katanya pada perhimpunan bulanan
Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Anwar berkata
sementara menjaga kepentingan majoriti Melayu Islam di Malaysia, beliau
memilih untuk memegang prinsip saling homat-menghormati dan meraikan
serta memberi hak kewarganegaraan kepada semua.
- Bernama

0 Komentar