Petronas tetap akan meneruskan projek cari gali di kawasan Laut China
Selatan walaupun ketika ini terdapat pertindihan tuntutan dengan China,
kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menjelaskan perkara tersebut
di Dewan Rakyat hari ini, katanya, Malaysia menganggap kawasan mencari
gali itu berada di wilayah negara dan ini telah dimaklumkan kepada
Perdana Menteri China Li Qiang dan Presiden Xi Jinping sewaktu kunjungan
rasminya ke negara itu.

“Perkara ini saya sebut sendiri kepada
Perdana Menteri Li Qiang dan Presiden Xi Jinping bahawa Malaysia
menganggap ini kawasan daerah Malaysia.

“Maka oleh demikian, Petronas akan terus cari gali di kawasan itu,” katana tanpa mendedahkan nama kawasan berkenaan.

Anwar
berkata demikian ketika menjawap soalan tambahan Takiyuddin Hassan
(PH-Kota Bharu) sewaktu sesi pertanyaan kepada perdana menteri jika
lawatan rasminya itu menyentuh tentang aspek keselamatan di rantau ini
yang melibatkan tentera China di perairan laut China Selatan.

“Walau bagaimanapun, kalau negara China merasakan ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan.

“Tapi
sementara itu, usaha kita untuk cari gali akan kita teruskan. Saya tak
mahu mengelak daripada meneruskan rundingan, kerana ini pendirian Asean.

“Asean
merasakan semua tuntutan bertindih harus diselesaikan secara rundingan,
tetapi setakat ini Malaysia bertegas bahawa ini adalah di kawasan atau
wilayah Malaysia,” katanya.

Berhubung
kehadiran kapal dan tentera laut China di Laut China Selatan, perdana
menteri berkata negara itu telah menjelaskan bahawa ia berada di
perairan antarabangsa, namun kementerian luar akan terus memantau dan
mengeluarkan bantahan sekiranya terdapat perlanggaran.

Anwar
berkata Malaysia dan Asean tegas dengan pendirian untuk tidak menyokong
sebarang usaha yang boleh meningkatkan ketegangan terutama dalam bidang
ketenteraan.

“Sebab itu bila diumum penubuhan AUKUS, Malaysia
menyatakan keresahan dan kebimbangan agar perkara ini tidak meledak
sebagai suatu yang akan dianggap provokatif yang akan menyebabkan negara
China meningkatkan kegiatan mereka di rantau,” katanya.

AUKUS merujuk kepada pembentukan kerjasama pertahanan tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Pada
30 Mac lepas Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata sebagai anggota
Asean, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan rantauini sebagai Zon
Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) termasuklah dalam isu
berkaitan perlucutan senjata nuklear, pencegahan percambahan nuklear dan
penggunaan teknologi nuklear secara aman