Sempena Aidilfitri
yang bakal tiba, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar
rakyat meningkatkan kesatuan dalam membangun dan menyelamatkan negara
tercinta.
Anwar berkata dia percaya melalui kesepaduan rakyat
dapat mengangkat kembali martabat negara dan hidup dalam suasana
perpaduan dengan lebih aman dan makmur.
“Sempena sambutan ini yang
diraikan oleh semua umat Islam di negara kita dan seluruh dunia, saya
ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.
“Mari kita kuatkan semangat,
kesatuan rakyat Malaysia, membangunkan negara, menyelamatkan negara dan
memulakan daripada diri kita setelah Ramadan Kareem kita membersihkan
diri, jiwa kita supaya mengangkat martabat keluarga kita, masyarakat
kita, negara kita sebagai satu kesatuan,” kata Anwar.
Ahli parlimen Tambun itu berkata demikian menerusi video berdurasi dua minit 36 saat yang dimuat naik di Facebooknya, semalam.
Pada
10 April lepas, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja memaklumkan
tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang ini di 29 lokasi
terpilih di seluruh negara.
- Bernama

0 Komentar