SHAH
ALAM: Petang ini 29 Ramadan ditetapkan sebagai tarikh melihat anak
bulan Syawal dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Puasa akan diumumkan
malam ini juga.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dalam satu kenyataan
sebelum ini memaklumkan, Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa
cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan
Hisab.
"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia
Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mengisytiharkan bahawa
tarikh bagi melihat anak bulan Syawal ialah pada petang Khamis, 20 April
2023 bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijriah.
"Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh
Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab. Penyimpan Mohor
Besar Raja-raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari
Raya Puasa yang ditetapkan melalui Radio dan Televisyen," kata kenyataan
itu.
Jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Syawal pada petang Khamis di 29 lokasi seluruh negara.
Ia adalah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung
Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang,
Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit
Jugra, Banting, Kuala Langat; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam,
Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong,
Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
Lokasi lain adalah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan
Indah, Pulau Langkawi; Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah; Bukit
Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut;
Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu; Bukit Peraksi,
Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram,
Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota
Bharu, Kelantan.
Turut sama, Pusat Falak Miri; Teluk Bandung, Kuching; Tanjung Batu,
Bintulu, Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah;
Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; Bukit
Pelindong, Kuantan, Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia
Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur;
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya dan Menara Pandang
Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

0 Komentar