KANGAR: Pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub tetap
dikehendaki hadir untuk diambil keterangan di Pejabat Jabatan Hal Ehwal
Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) pada 2 Mei ini.
Ia berhubung siasatan penyertaan beliau pada program Solat Terawih
dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar di Markaz Tarbiyah PAS
Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang,
di sini, pada 30 Mac lalu tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti
Perlis.
Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim, berkata perubahan tarikh
berkenaan yang sepatutnya dilaksanakan pada 17 April lalu terpaksa
diubah selepas Wadi Annuar sendiri memohon penangguhan beberapa tarikh
sesi siasatan yang ditetapkan oleh JAIPs.
"JAIPs menerima beberapa pertanyaan daripada orang ramai dan pihak
media berhubung sesi siasatan dengan Wadi Annuar yang sebelum ini
dijadualkan pada 17 April lalu namun Wadi Annuar memohon penangguhan
beberapa tarikh sesi siasatan berdasarkan alasan yang dikemukakan kepada
JAIPs.
"Kita menegaskan bahawa siasatan terhadap beliau akan tetap
diteruskan pada 2 Mei bersamaan Selasa hadapan dan tindakan
undang-undang termasuk pelaksanaan waran tangkap akan diambil sekiranya
arahan ini tidak dipatuhi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, pendakwah itu sudah beberapa kali diminta untuk hadir ke
pejabat JAIPs di Kangar untuk diambil keterangannya mengenai program
pada akhir bulan lalu yang dilakukan tanpa mendapat tauliah daripada
Jabatan Mufti Perlis.
Malah, satu laporan polis juga dibuat di Balai Polis Kangar oleh
JAIPs selepas anggota penguat kuasa dihalang oleh penganjur daripada
bertemu dengan Ustaz Wadi yang mahu mengambil keterangan berhubung
tindakan memberi ceramah di negeri ini.
Mufti Perlis yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran
Agama Islam Negeri Perlis Jabatan Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd
Asri Zainul Abidin sebelum ini turut menegur pendakwah itu yang didakwa
bagaikan mempersendakan peraturan serta titah oleh Raja Perlis, Tuanku
Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengenai keperluan untuk mendapatkan
tauliah terlebih dahulu daripada penguasa agama Islam di negeri itu
sebelum memberikan ceramah mengenai agama Islam di setiap masjid atau
surau di Perlis.

0 Komentar