PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno menafikan tindakan partinya
meminta pengampunan diraja untuk bekas perdana menteri, Najib Razak
bersifat tekanan politik seperti yang didakwa Pengerusi Perikatan
Nasional (PN), Muhyiddin Yassin.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi berkata,
Muhyiddin sebenarnya yang sedang melakukan tekanan politik bagi
menghalang pengampunan diraja terhadap Najib.
Puad berkata, tidak wujud kepentingan politik pada memorandum Umno
untuk meminta pengampunan itu kerana ia hanya menyerahkan kepada budi
bicara Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42(1) dan 42(2)
Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan akhir adalah bidang kuasa Agong selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Puad berkata sebelum ini Muhyiddin sering membuat
tindakan yang menjurus kepada tekanan politik semasa PN memerintah.
Bagaimanapun katanya, Muhyiddin mengetahui Agong tidak akan tunduk pada tekanan politik.
“Muhyiddin yang guna tekanan politik untuk sambung tempoh darurat dan gantung Parlimen. Tetapi ia gagal dan ditolak.
“Muhyiddin juga beri tekanan politik kononnya dia cukup nombor untuk
tubuh kerajaan selepas PRU15. Dia tolak kerajaan perpaduan. Tetapi Agong
lebih bijaksana dan tidak tunduk kepada tekanan politik,” katanya.
Semalam, Muhyiddin menyifatkan keputusan MKT Umno memohon pengampunan diraja Najib bersifat desakan politik.
Muhyiddin bagaimanapun berkata terpulang kepada kebijaksanaan Lembaga Pengampunan untuk membuat keputusan.
Sebelum ini, MKT Umno sebulat suara bersetuju menghadap Agong bagi
mempersembah permohonan memberi pertimbangan pengampunan diraja kepada
Najib.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, MKT
juga akan mempersembahkan warkah rayuan kepada baginda beserta
memorandum ditandatangani semua pimpinan Umno daripada 191 bahagiannya.

0 Komentar