PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menyifatkan keputusan
Umno memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong terhadap bekas
presidennya Najib Razak menjelang PRN sebagai langkah “tidak bijak”,
kerana seolah-olah memberi senjata politik kepada pembangkang
menyerangnya.
James Chin dari Universiti Tasmania mendakwa sentimen majoriti rakyat
ketika ini menentang pengampunan diraja terhadap bekas perdana menteri
itu, yang pada 31 Mac lalu gagal dalam usahanya menyemak keputusan panel
Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun
serta denda.
Hukuman itu dijatuhkan atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang
haram dan pecah amanah berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.
Chin berkata, ia mungkin boleh menyebabkan kekalahan Barisan Nasional
(BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN selain menjejaskan imej Perdana
Menteri Anwar Ibrahim yang setakat ini hanya memberi maklum balas “tidak
timbul konflik kepentingan membabitkan dirinya yang berada dalam
Lembaga Pengampunan”
“PN boleh ambil kesempatan dengan memberitahu orang Melayu yang Umno
masih belum berubah dan sokong budaya rasuah, asalkan dapat bantu
Najib,” katanya kepada FMT.
James juga mempersoalkan waktu permohonan pengampunan diraja itu
dibuat kerana Najib masih berdepan dengan beberapa lagi pertuduhan yang
prosidingnya masih berjalan di mahkamah.
“Mungkin persidangan Lembaga Pengampunan tidak dipanggil langsung
(untuk memberi pengampunan kepada Najib) kerana kes lain masih
berjalan,” katanya.
Najib ketika ini berdepan perbicaraan kes pengubahan wang haram dana
SRC International berjumlah RM27 juta, penyelewengan RM2.3 bilion dana
1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pecah amanah ke atas harta
kerajaan berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International
Petroleum Investment Company (IPIC).
Pada 3 Mac lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibebaskan daripada tuduhan meminda laporan audit 1MDB.
Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bersetuju menghadap Yang
di-Pertuan Agong bagi mempersembah permohonan pengampunan diraja kepada
Najib kerana parti itu percaya beliau dinafikan keadilan.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpandangan isu berkenaan
dijangka tidak memberi kesan teruk kepada peluang Umno dalam PRN di enam
negeri kerana permohonan pengampunan itu dibuat berdasarkan pandangan
seorang hakim bahawa Najib tidak mendapat keadilan yang sepatutnya.
“Jadi ini berbeza dengan Umno menyokong penyalahgunaan kuasa,
walaupun empat hakim mengatakan Najib bersalah namun dengan satu
penghakiman berbeza memberi kekuatan kepada parti itu untuk memohon
pengampunan,” katanya.
Azmi merujuk kepada penghakiman minoriti setebal 78 muka surat
dikeluarkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli pada 31 Mac
yang menyatakan Najib tidak mempunyai representasi undang-undang
apabila panel Mahkamah Persekutuan mendengar dan menolak rayuannya dalam
kes rasuah SRC International.
Sehubungan itu, Azmi berkata, kempen PN menggunakan isu itu mungkin
kurang berkesan dan gabungan Bersatu serta PAS sepatutnya lebih
menyasarkan kepada PH yang bersekongkol dengan Umno dalam permohonan
pengampunan untuk Najib.

0 Komentar