KENAIKAN
harga bagi sesetengah barangan keperluan harian memerlukan isi rumah
merancang perbelanjaan secara lebih bijak dan berhemah.
Situasi ini mungkin tidak begitu memberi masalah kepada keluarga yang
sedar kehidupan mewah bukan janji kepada kebahagiaan jadi kehidupan
dijalani secara sederhana tanpa pembaziran, malah sikap berjimat
dijadikan pegangan dalam keluarga terbabit.
Namun ia juga bukan semudah kata. Hakikatnya pada zaman
sekarang, segala keperluan kewangan untuk makanan, pakaian, barangan
rumah, pendidikan anak dan sebagainya begitu mudah membuatkan akaun bank
kita kosong dalam sekelip mata sekali gus memberi tekanan kepada
pencari nafkah.
Langkah mengurangkan ketegangan akaun bank sudah tentu mampu membantu
melegakan tekanan dihadapi. Berikut adalah panduan mudah bagi
penjimatan wang yang boleh dilakukan untuk meringankan beban kewangan
bulanan anda:
1. MERANCANG MAKANAN ANDA
Kunjungan spontan ke restoran makanan segera untuk makan malam akan
memberi kesan walaupun bagi keluarga yang paling berjimat. Berbanding
menikmati hidangan sihat pada kos RM4 seorang, makan malam di restoran
makanan segera bukan saja mempunyai kos yang lebih tinggi malah
meningkatkan pengambilan kalori.
2. BIJAK BERBELANJA
Kita tidak perlu menjadi pengumpul kupon tegar untuk
menjimatkan wang pada barangan runcit. Sebaliknya, strategi bijak boleh
melegakan tekanan kewangan antaranya dengan melakukan pembelian semua
barangan keperluan pada satu masa berbanding berulang ke kedai
mendapatkan keperluan pada waktu yang merugikan petrol dan masa. Kita
juga boleh mengelak daripada membeli-belah bersama anak yang mungkin
lebih menyukarkan kita untuk kekal fokus pada belanjawan sebaliknya
membuat pembelian spontan terutamanya apabila didesak anak.
3. MENGATUR PERCUTIAN
Daripada menggunakan wang pada perjalanan ke luar negara, lebih baik
kita lihat terlebih dulu lokasi percutian yang masih belum diterokai di
sekitar tempat sendiri. Banyak bandar berdekatan mempunyai pelbagai
aktiviti menarik seperti tempat bersejarah, lokasi berkhemah, laluan
mendaki malah pawagam sekalipun mampu menjadikan hari cuti menarik.
4. MELABUR DALAM PERKARA YANG BOLEH DIGUNA SEMULA
Barangan pakai buang biasanya lebih murah namun ia menjadi mahal
apabila kita perlu membelinya secara berulang kali. Tuala kertas
misalnya, kosnya mencecah beberapa ringgit untuk satu kotak sedangkan
harga yang sama kita boleh membeli beberapa helai kain yang boleh
dibasuh untuk dipakai berulang kali. Selain itu, daripada membeli air
mineral dalam botol plastik, apa kata kita masak sendiri untuk diminum
seisi keluarga.
5. BELI BARANGAN TERPAKAI
Membeli barangan yang sudah digunakan orang lain mungkin mengambil
sedikit penyesuaian tapi ia amat berguna dalam usaha penjimatan. Sebagai
contoh, buku yang dijual di kedai buku gergasi menawarkan harga cukup
tinggi sedangkan ia boleh diperoleh pada separuh harga di kedai buku
tempatan yang menjual buku terpakai.
Barang permainan juga adalah satu lagi barangan yang boleh kita
jimatkan. Mempunyai anak yang masih kecil membuatkan kita ingin membeli
permainan untuk mereka namun semua ini bukan saja akan rosak malah
tidak akan digunakan lagi apabila kanak-kanak sudah jemu dengannya.
Langkah terbaik adalah dengan membelinya di jualan garaj atau kedai
jimat yang jauh lebih murah.
6. BERHIBUR DI RUMAH
Keluar ke pawagam atau bermain boling untuk mencari hiburan akan
memberi kesan kepada bajet anda. Jika kita ingin juga keluar, pilihlah
lokasi yang mengelakkan kita untuk melakukan pembaziran spontan. Taman
di kawasan perumahan mungkin idea baik untuk kita beriadah bersama
keluarga dan pada masa sama menjauhkan kita daripada kedai yang sedang
menanti pelanggannya.
7. PERGI KE PERPUSTAKAAN
Pergi ke perpustakaan awam adalah salah satu aktiviti yang murah. Ia
ibarat aktiviti sempurna yang juga membolehkan kita membawa pulang ilmu
serta aktiviti membaca buku sepanjang minggu. Walaupun ada caj tertentu
seperti yuran keahlian, ia sangat minimum dan yang pasti, bukan
pembaziran!
8. JIMAT TENAGA
Penjimatan tenaga bukan perkara baru yang kita dengar. Ia sentiasa
digalakkan ke arah usaha penjimatan. Cukup mudah untuk menyempurnakan
aspek ini. Memadamkan lampu dan mengurangkan penggunaan penyaman udara
boleh membantu mengurangkan kos bil utiliti.
Perkara ini juga perlu diajar kepada anak supaya ia diteruskan
sehingga mereka dewasa. Alah bisa tegal biasa! Berjimat dengan keluarga
tidak memerlukan langkah drastik. Sebaliknya, perkara yang kecil boleh
membawa perbezaan besar untuk keuntungan kita. Ia mungkin mengambil masa
untuk kita biasakan diri tetapi disiplin tinggi mampu mendorong seluruh
ahli keluarga kita untuk menyokong usaha penjimatan wang ini menjadikan
hal menguruskan kewangan lebih mudah.

0 Komentar