Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni
Kesan
daripada perubahan iklim, suhu di pelbagai negara Asia termasuk
Malaysia kini meningkat dan mencatat rekod lebih tinggi berbanding
biasa. Keadaan yang berlaku secara berterusan ini disebut sebagai
'gelombang haba' yang boleh mengakibatkan risiko kesihatan seperti
dehidrasi, kekejangan panas, keletihan haba dan strok haba yang boleh
membawa maut. Malah menurut Jabatan Meteorologi, Malaysia dijangka akan
mengalami fenomena El Nino yang boleh mengakibatkan kemarau kering
sehingga September depan.
Kita meyakini panas dan sejuk tabiat alam semula jadi yang ditetapkan
oleh Allah SWT. Malah, kedua-duanya boleh menyebabkan kematian
sekiranya kawasan yang mengalami iklim panas terdedah kepada cuaca panas
yang melampau atau kawasan yang mengalami iklim sejuk terdedah kepada
cuaca sejuk yang ekstrem.
Dalam sebuah hadis, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi
SAW bersabda: "Neraka pernah mengadu kepada Tuhannya seraya berkata:
'Wahai Tuhanku, sebahagianku telah memakan sebahagian yang lain.' Lalu,
Dia pun mengizinkan neraka dengan dua hembusan nafas, satu nafas pada
musim sejuk dan satu nafas lagi pada musim panas. Maka, itulah dia
(sebab) hawa paling panas yang kamu sekalian dapat rasakan dan juga hawa
paling sejuk yang kamu sekalian dapat rasakan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan cuaca paling panas yang manusia rasai itu
adalah daripada kepanasan neraka Jahanam dan cuaca paling sejuk yang
manusia rasai pula adalah daripada kesejukan neraka Jahanam. Sedangkan
apa yang dirasai itu sebenarnya adalah suatu peringatan kepada mereka
bahawa dunia ini adalah tempat ujian semata-mata dan bukannya tempat
tinggal yang abadi.
Bagi orang yang berfikir, terdapat banyak bukti jelas tentang
kewujudan perkara ghaib yang Allah SWT perintahkan manusia beriman
dengannya. Ketika Allah SWT memerintahkan manusia supaya mempercayai
Hari Akhirat serta kewujudan syurga dan neraka sebagai tempat balasan
bagi kebaikan atau kejahatan yang mereka lakukan, Dia turut mewujudkan
tanda yang dapat menunjukkan kebenaran adanya kedua-dua tempat balasan
tersebut. Selain melalui perkhabaran wahyu yang diturunkan kepada
sekalian nabi dan rasul-Nya, Allah SWT juga mengisyaratkannya secara
nyata melalui cuaca panas atau cuaca sejuk ekstrem yang dialami oleh
mereka.
Kata Imam al-Hasan al-Basri: "Setiap cuaca sejuk yang membinasakan
sesuatu, maka ia adalah daripada nafas neraka Jahanam dan setiap cuaca
panas yang membinasakan sesuatu, maka ia juga adalah daripada nafas
neraka Jahannam."
Oleh kerana dunia yang fana ini tempat ujian, sewajarnya kenikmatan
dirasai mengingatkan manusia kepada kenikmatan syurga yang abadi serta
mendorong mereka berusaha untuk memperolehnya. Kesengsaraan pula
sewajarnya mengingatkan kepada kesengsaraan neraka yang abadi serta
mendorong mereka berusaha menjauhinya. Sekurang-kurangnya dengan berdoa
memohon perlindungan daripada Allah SWT.
Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Jika hari begitu
panas, lalu seseorang berkata: 'La ilaha illallah, alangkah sangat
panasnya hari ini. Ya Allah, lindungilah daku daripada kepanasan neraka
Jahanam'. Maka, Allah berfirman kepada neraka Jahanam: 'Sesungguhnya ada
seorang hamba daripada hamba-Ku yang berlindung dengan-Ku daripada
kepanasanmu. Maka, Aku persaksikan kamu bahawa Aku sesungguhnya telah
melindunginya'. Dan jika hari begitu sangat sejuk, lalu seseorang
berkata: 'La ilaha illallah, alangkah sangat sejuknya hari ini. Ya
Allah, lindungilah daku daripada kesejukan neraka Jahanam'. Maka, Allah
berfirman kepada neraka Jahannam: 'Sesungguhnya ada seorang hamba
daripada hamba-Ku yang berlindung dengan-Ku daripada kesejukanmu. Maka,
Aku persaksikan kamu bahawa Aku sesungguhnya telah melindunginya." Para
sahabat bertanya: 'Apakah kesejukan neraka Jahannam itu?' Jawab
baginda: 'Suatu tempat yang orang kafir akan dicampakkan ke dalamnya
sehingga terlerai tubuhnya antara satu sama lain disebabkan terlalu
sejuknya." (Riwayat Ibn as-Sunni dengan sanad daif)
Cuaca yang sangat panas adalah suatu ujian namun kita dibenarkan
untuk melindungi diri daripadanya. Rasulullah SAW bersabda: "Jika panas
menjadi sangat terik, maka tunggulah hingga sejuk sedikit untuk bersolat
(Zuhur) kerana panas yang sangat terik itu adalah daripada hembusan
neraka Jahanam." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Nabi SAW pernah melihat seorang lelaki sedang berdiri di bawah terik
matahari, lalu baginda pun bertanya mengenainya. Maka, sahabat menjawab:
"Itu Abu Isra'il, beliau telah bernazar untuk berdiri, tidak akan
duduk, tidak akan berteduh dan tidak akan bercakap di samping berpuasa."
Lalu Nabi SAW bersabda: "Suruhlah dia untuk bercakap, berteduh, duduk
dan menyempurnakan puasanya." (Riwayat al-Bukhari)
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

0 Komentar