Konvensyen Nasional
Kerajaan Perpaduan hari ini merupakan peristiwa yang masih janggal
dilihat walaupun selepas semua penjajaran politik sejak 2016.
Pemimpin
DAP bercakap di atas pentas yang pernah digunakan oleh pemimpin Umno
untuk menyerang mereka, dan laungan 'reformasi' bergema di Dewan Medeka
di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Mesej - diulang sepanjang
hari - adalah jelas: Saling memaafkan, melupakan permusuhan silam dan
menamatkan persaingan politik berdekad-dekad sambil menampilkan keutuhan
barisan bersatu kepada rakyat.
Himpunan ini untuk orang ramai dan
ahli parti - yang kebanyakannya masih lagi kekok terhadap idea
bekerjasama dengan musuh lama mereka menjelang enam pilihan raya negeri
akan datang.

Setiausaha
Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail merumuskannya dengan baik, berkata
slogan partinya "lawan tetap lawan" kini boleh ditukar kepada "dulu
musuh, kini kawan."
Presiden MCA Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung
DAP Anthony Loke yang masih cuba mencari keserasian politik
mengungkapkan keadaan itu melalui pantun.
Wee, yang terlebih dahulu berucap di pentas, berkata:
"Dulu lawan kini kawan,
Dulu kawan kini lawan,
Tak kisah lawan ataupun kawan,
Yang penting hati rakyat perlu ditawan."

Loke kemudian membalasnya dengan pantun yang hampir sama:
"Dulu lawan kini kawan,
Lawan sampai jadi kawan,
Tak kira kawan atau lawan,
Yang penting Malaysia aman."
Konvensyen hari ini bukan sahaja mengenai soal perdamaian dan saling memaafkan antara parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

Majlis itu berakhir dengan semua pimpinan 19 parti politik membaca ikrar lima tekad utama untuk Malaysia yang lebih baik.
Antaranya,
mencari jalan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui tawaran
lebih banyak peluang dalam pelbagai sektor; serta memastikan akses
kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan yang berkualiti.
Selain
itu, pemimpin Kerajaan Perpaduan juga bertekad untuk meningkatkan
ketelusan dalam pentadbiran dan menghapuskan ketirisan dalam
perbelanjaan supaya lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat
daripada inisiatif kerajaan.
Pada masa sama, mereka berikrar untuk
meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebagai pemangkin pembangunan, sambil
mengambil pendekatan keseluruhan untuk mengekalkan perpaduan dalam
kalangan rakyat.

Sementara itu, konvensyen Kerajaan Perpaduan hari ini dijangka bakal diadakan di peringkat negeri.
Konvensyen ini juga mungkin menjadi majlis tahunan - yang mungkin melangkaui tempoh pentadbiran sekarang.
Presiden
Umno Ahmad Zahid Hamidi - yang dipuji oleh Perdana Menteri Anwar
Ibrahim kerana telah membentuk pentadbiran hari ini - berkata kerajaan
Madani sekarang boleh terus mentadbir lepas pilihan raya umum akan
datang jika mereka semua terus menyokong pengerusi PH itu.
Pun
begitu, semua tekad ini akan diuji jika 'gelombang hijau' Perikatan
Nasional dapat menembusi Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang -
yang diterajui oleh PH - dalam enam pilihan raya negeri akan datang.

0 Komentar