Pemimpin veteran DAP
Lim Kit Siang mencadangkan agar kerajaan perpaduan bekerjasama dengan
PAS menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Bagaimanapun, Lim
berkata kerajaan perpaduan hanya perlu berbuat demikian dengan dua
syarat - pertama, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menghentikan permusuhan
terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan mesti membuktikan
keikhlasannya.

Lim membuat gesaan itu dalam menyokong titah Yang
di-Pertuan Agong bahawa Malaysia memerlukan kestabilan politik dan
kejayaan konvensyen kerajaan perpaduan semalam.

Lim Kit Siang

Kedua,
Lim berkata sekiranya Hadi mengaku ada melemparkan beberapa dakwaan
tidak berasas terhadap DAP dan berjanji tidak akan mengulanginya, maka
PAS perlu dijemput menyertai kerajaan perpaduan.

Antara
lain, Lim berkata Hadi pernah membuat beberapa dakwaan liar termasuk
melabelkan masyarakat bukan Islam sebagai "perompak" yang terlibat dalam
rasuah dan penipuan dengan menjadikan orang Melayu sebagai mangsa.

Abdul Hadi Awang

Lim juga memetik dakwaan Hadi bahawa DAP merekrut orang Melayu "jahil" untuk dijadikan sebagai  "boneka" parti itu.

“Jika
Hadi bersedia menjadi pemimpin Islam yang jujur, bertanggungjawab dan
dihormati di Malaysia dan mengakui bahawa dia terkhilaf dalam  membuat
dakwaan liar dan tidak masuk akal itu... saya tidak nampak kenapa PAS
tidak boleh dijemput menyertai kerajaan perpaduan.

“Yang
di Pertuan Agong adalah betul – Malaysia memerlukan kestabilan politik
untuk menjadi sebuah negara bertaraf dunia yang progresif, makmur dan
dihormati.

"Tetapi bersediakah Hadi untuk mengutamakan kepentingan negara dan bukannya bertindak untuk kepentingan peribadinya?" soal Lim.

Kenyataan
Lim dibuat ketika Anwar juga menghulurkan salam perdamaian  kepada PAS
menerusi ahli jawatankuasa pusat PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Dalam
pertemuan dengan Nik Abduh Jumaat lalu, Anwar memaklumkan hasratnya
untuk menjalin semula hubungan dengan pemimpin PAS termasuk Hadi.