KUALA LUMPUR - Agihan kerusi melibatkan parti komponen Pakatan
Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya di enam negeri
akan dimuktamadkan akhir bulan Mei.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi
UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, setakat ini, perbincangan
bagi pengagihan kerusi antara kedua-duanya masih belum mempunyai kata
putus.“Perbincangan
kerusi belum muktamad. Setakat ini di peringkat negeri diminta
berbincang dan belum putus. Akan diketahui akhir bulan ini (Mei),”
katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di sini pada Jumaat.

Menjawab
persoalan berkenaan pengisian mesyuarat, beliau berkata, perbincangan
tersebut melibatkan perancangan masa hadapan untuk memperkasakan parti.

Selain itu ujarnya, mesyuarat turut membincangkan mengenai perancangan parti bagi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pada 20 Mei lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan parti itu sudah menyenarai pendek calon yang bakal bertanding pada PRN.

Ahmad Zahid berkata, senarai itu hasil perbincangan yang dilakukan dengan pengerusi-pengerusi perhubungan negeri.