Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed -
PELBAGAI komen serta kenyataan menyentuh isu sensitif berkaitan Raja,
agama dan kaum (3R,) terutama dalam media sosial sangat membimbangkan,
walaupun dilakukan segelintir anggota masyarakat.
Tangkapan demi tangkapan dibuat pihak berkuasa membuktikan
masih ada degil dan cuba bermain api, sekali gus mengganggu-gugat
kerukunan hidup masyarakat majmuk serta kestabilan negara. Terkini
seorang pemilik akaun Twitter ditahan selepas disyaki menghina institusi
Raja dan bersifat perkauman.
Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di Seremban, dikesan memuat naik
hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi Raja dan bersifat
provokasi perkauman. Siasatan terhadap suspek dijalankan Unit Siasatan
Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit
Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan
kebencian kepada mana-mana Raja atau kerajaan dan Seksyen 233 Akta
Komunikasi Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan
rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Masyarakat sewajarnya mengambil iktibar terhadap beberapa pengguna
media sosial sebelum ini disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman. Orang
ramai perlu menjadi pengguna media sosial bijak, berhemah dan tidak
menyalahgunakan platform terbabit hingga boleh mendatangkan kegusaran
awam serta menggugat keharmonian negara, terutama membabitkan isu 3R.
Ironinya sejak Pilihan Raya Ke-15 (PRU15), isu membabitkan 3R terus
dijadikan senjata politik oleh ahli politik dan netizen, khususnya dalam
media sosial. Ketika ini terlalu banyak komen dan perkongsian pandangan
berbentuk provokasi berbaur kebencian membabitkan 3R ini diviralkan
pihak tidak bertanggungjawab. Kita perlu sedar ia tindakan sangat
berbahaya dan boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.
Hakikatnya selepas 66 tahun negara mencapai kemerdekaan kita masih
berhadapan isu sensitif 3R ini. Ternyata masih ada anggota masyarakat
tidak peka dan menghormati Perlembagaan Persekutuan, lantas sengaja
mencetuskan pelbagai tindakan provokasi melalui penyebaran maklumat
serta kandungan palsu dan berbaur kebencian hingga mengganggu-gugat
keharmonian kaum dan kehidupan masyarakat majmuk di negara kita.
Persoalan kita kepada kelompok ini kenapa suka bermain api?
Penelitian penulis menunjukkan pengguna media sosial bertindak
menyebarkan pelbagai propaganda dan maklumat sensitif, sama ada bagi
diri sendiri untuk tujuan tertentu atau melakukan tindakan sama, tetapi
bagi pihak lain tidak bertanggungjawab mengupah mereka demi mencapai
agenda dan kepentingan peribadi.
Sindrom defisit jati diri
Apapun alasannya, tindakan individu atau kelompok menyebarkan
pelbagai pandangan jelik mengenai 3R ini melambangkan mereka mengalami
masalah sindrom defisit jati diri dan semangat cintakan negara sangat
serius.
Sebagai warganegara menjunjung dan patuh kepada Perlembagaan serta
berpaksikan semangat dan roh Rukun Negara, kita sewajarnya tidak
melakukan apa-apa tindakan boleh menggoncang jambatan perpaduan antara
masyarakat majmuk serta melampaui batas perundangan negara.
Janganlah menggadai prinsip dan sanggup melanggar undang-undang
hanya kerana disediakan ganjaran lumayan tanpa mempedulikan impak dan
kesan daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu terhadap rakyat dan
negara.
Secara prinsipnya, kita melihat ada keperluan menyedarkan anggota
masyarakat khususnya ahli politik dan generasi muda terhadap kepentingan
mematuhi undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan
serta menghayati dan mengamalkan setiap prinsip Rukun Negara sebagai
cara hidup dan amalan murni masyarakat berbilang agama dan bangsa.
Kita perlu membaca dan memahami intipati Perlembagaan berkaitan 3R
yang menyediakan panduan sangat jelas untuk dipatuhi setiap warganegara.
Misalnya, institusi diraja diterima sebagai simbol perpaduan dengan
kedaulatan Malaysia adalah berpaksikan kedaulatan Raja-Raja Melayu
seperti dijelaskan Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.
Malah Perkara 32(1) juga dengan jelas menyatakan Yang di-Pertuan
Agong ialah Ketua Tertinggi di Persekutuan Malaysia. Justeru, tidak
wajar mempertikai mahupun menghina institusi Diraja.
Sebagai warganegara bertanggungjawab dan sayangkan rakyat serta
negara dan cintakan perpaduan dan keharmonian, kita perlu menzahirkan
aku janji tidak akan menyentuh lagi isu 3R hingga boleh memecahbelahkan
anggota masyarakat.
Penulis adalah Timbalan Ketua Panel Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

0 Komentar