BAGAN DATUK: "Jangan nak perasan (kononnya) ada orang tawarkan sertai Kerajaan Perpaduan," kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas
kenyataan Abdul Hadi yang juga Presiden PAS bahawa ada pihak dalam
kerajaan menghubunginya untuk berjumpa bagi menawarkan PAS menyertai
Kerajaan Perpaduan.
"Jangan perasan ada sesiapa nak tawarkan pada dia (Hadi)," katanya
kepada pemberita pada Karnival Kerjaya MyFuturJobs dan Skim Keselamatan
Sosial Suri Rumah di Dewan Serbaguna Datuk Haji Abdullah Ahmad, dekat
sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menolak dakwaan Abdul Hadi itu.
"Itu (dakwaan PAS ditawar sertai kerajaan) di luar pengetahuan saya," katanya.
Semalam Abdul Hadi mendakwa tawaran itu muncul kerana Pakatan Harapan
(PH) khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi
jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak PAS.
Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Pengerusi
Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal
Masyarakat India Perak, A Sivanesan.
Abdul Hadi turut menjelaskan, ketika ini pihaknya terbuka dengan
mana-mana tawaran oleh sesiapa pun tetapi tawaran berkenaan mesti tidak
lari daripada prinsip, matlamat dan hala tuju PAS.

0 Komentar