PETALING JAYA: Telegram tegas dengan pendiriannya enggan bekerjasama
dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), dengan berkata pihaknya
tidak akan terlibat dalam “sebarang bentuk penapisan politik”.
Jurucakap syarikat Remi Vaughn mendakwa, pihaknya sudah pun
memainkan peranan mengawal selia isi kandungan yang memudaratkan di
platformnya, termasuk berhubung penjualan bahan haram dan pornografi.
“Bagaimanapun, Telegram tidak akan terlibat dalam sebarang bentuk penapisan politik,” kata Vaughn, lapor New Straits Times.
Beliau berkata, moderator platformnya memantau segmen awam di aplikasi mesej itu secara proaktif.
Tambahnya, aduan pengguna yang diterima melalui aplikasi dan e-mel
aduan – abuse@telegram.org – juga dipantau dengan teliti agar kandungan
yang melanggar terma perkhidmatannya dapat dibuang.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata,
Telegram mungkin berdepan tindakan jika terus tidak bekerjasama dengan
kementeriannya.
Tambahnya, kementeriannya telah berusaha untuk berhubung dengan
Telegram sejak Januari, berikutan beberapa aduan terdapat pornografi dan
kegiatan penjualan dadah di platform itu.
Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
akan meneliti perkara itu dan beliau sedang menunggu cadangan mereka
mengenai tindakan seterusnya.

0 Komentar