Malaysia bukan sahaja memerlukan media yang benar-benar bebas, tapi
juga yang cukup berani untuk melaporkan sebarang berita tanpa rasa
bimbang atau berat sebelah, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi
Fadzil.

Fahmi berkata media sedemikian diperlukan bukan
semata-mata untuk mewujudkan semak dan imbang, malah ia juga bertujuan
memastikan bahawa suara semua pihak dapat didengar dengan jelas dan
diberi perhatian.

"Malaysia ditempatkan di kedudukan ke-73 dalam
indeks World Press Freedom 2023 yang dikeluarkan pertubuhan Reporters
Without Borders, kedudukan tertinggi yang belum pernah dicapai Malaysia
tahun-tahun sebelum ini, dan ia tidak seharusnya dipandang enteng,
kerana masih ada banyak usaha yang perlu dilaksanakan.

“Jadi saya
harap dalam tempoh beberapa hari ini, rakan-rakan media dapat duduk
berbincang, mencambah buah fikiran, yang bukan sahaja akan dapat
meluaskan pandangan kita, tapi juga akan mencari ikhtiar mengenai apa
yang perlu kita lakukan demi masa depan industri ini,” katanya semasa
menyampaikan ucapan perasmian Forum Media Hawana 2023 di Ipoh, Perak
hari ini.

Forum dengan tema “Masa Depan Media” anjuran bersama
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Institut Penyiaran dan
Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) itu diadakan bersempena Hari
Wartawan Nasional (Hawana) 2023.

-Bernama