Perdana Menteri,
Anwar Ibrahim menjangkakan isu pengeluaran caruman Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) akan terus dipolitikkan termasuk pada kempen di
enam pilihan raya negeri (PRN).
Anwar berkata, dia bersedia untuk
menghadapi perkara itu bagi memastikan KWSP tidak lari daripada
landasannya sebagai simpanan hari tua pekerja.

Jelasnya,
dia antara yang lantang pada ketika itu memperjuangkan pengeluaran
caruman KWSP kerana situasi mendesak dan darurat ekoran penularan
Covid-19.
"Pada masa itu terdesak, darurat...Sekarang sudah berubah, sudah boleh bekerja.
"Saya
percaya ini akan terus dimainkan termasuk di dalam enam PRN, namun kita
tidak gusar," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara KWSP
Kwasa Damansara di Sungai Buloh, hari ini.
Hadir sama-sama Pengerusi KWSP, Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Amir Hamzah Azizan.

Pembangkang sebelum ini menggesa kerajaan supaya membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi mereka yang terkesan.
Pada
27 Feb pembangkang menggesa kerajaan supaya membenarkan pengeluaran
bersasar caruman KWSP, kepada golongan yang memerlukan dengan mencari
satu mekanisme yang sesuai.
Desakan
itu disuarakan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin (PN-Larut), melalui
sesi perbahasan usul Belanjawan 2023 peringkat dasar, di Dewan Rakyat.
Hamzah
berkata, kerajaan perlu membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar
dengan mencari mekanisme tertentu bagi memastikan hanya mereka yang
benar-benar layak boleh mengeluarkan wang simpanan persaraan itu.
Bagaimanapun,
pada 20 Mac lalu, perdana menteri menegaskan kerajaan perlu mencari
jalan lain bagi meringankan beban rakyat dalam usaha memastikan dana
pelaburan negara itu tidak terjejas.
"Saya boleh popular dan
membenarkan pengeluaran KWSP, tetapi adakah seorang yang
bertanggungjawab boleh berbuat demikian?" katanya.

Sementara itu, Anwar menggesa KWSP untuk menaikkan kadar pelaburan dalam negara kepada 70 peratus.
Katanya, ia penting kerana matlamat penubuhannya untuk membantu para pencarumnya supaya mendapat manfaat selepas bersara.
“Saya lihat KWSP pelaburan tinggi 64 peratus dalam negara, saya cuma mahu agar pelaburan dalam negara mencecah 70 peratus.
“Untuk
keperluan negara sekarang dan ambil kira keperluan sebahagian rakyat.
Pelaburan betul strategik tapi infrastruktur strategik macam SMART
Tunnel oleh KWSP, saya akui berkesan,” katanya lagi.

0 Komentar