Persiapan antara
parti gabungan Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi enam Pilihan Raya
Negeri (PRN) akan diputuskan dalam tempoh terdekat.

Perdana
Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini termasuklah mengenai
rundingan pembahagian kerusi, calon dan strategi kempen.

Bagaimanapun
menurutnya bagi negeri yang dikuasai mutlak oleh gabungan tertentu
seperti Pakatan Harapan (PH) di Selangor dan Pulau Pinang, rundingan
mengenai pengagihan kerusi harus dimulakan oleh kepimpinan negeri
sebelum hasil rundingan itu dikemukakan kepada pusat.

“Tadi kita
bincang tiada masalah (pengagihan kerusi di negeri yang dikuasai mutlak
parti tertentu). Macam beberapa negeri dipimpin oleh UMNO kita terima
dan beberapa negeri lain yang dipimpin oleh komponen PH juga kita
terima.

“Saya
ingat ini bukan isu yang dipertikai tapi saya serah kepada
kebijaksanaan kepimpinan di negeri yang harus memulakan rundingan secara
lebih kemas dan kemudian mengemukakan (hasilnya) kepada pimpinan
pusat,” kata beliau dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat
Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan malam tadi.

Mesyuarat
kira-kira dua jam itu turut dihadiri beberapa pemimpin utama Kerajaan
Perpaduan antaranya Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden
UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak
(GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke
Siew Fook.

Enam negeri sebelum ini sepakat membubarkan DUN
masing-masing pada dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan
kepada PRN iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan,
Kedah dan Terengganu.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi
PH berkata meskipun persiapan PRN kali ini banyak melibatkan BN dan PH
namun parti yang mempunyai cawangan atau gerakan di Semenanjung Malaysia
turut dilibatkan sama dalam perbincangan sebagai menggambarkan
kesepaduan dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengenai
isu lain, Anwar berkata Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang
diadakan pada 14 Mei ini adalah percubaan pihaknya untuk terus
mewujudkan semangat kemuafakatan dalam kalangan kaum dan wilayah di
negara ini.

"Mesej kita ke seluruh negara ini ialah suatu
percubaan yang unik dalam sejarah yang mengulangi usaha untuk
mewujudkan kemuafakatan kaum dan wilayah bermula sejak peringkat awal
kemerdekaan, kemudian pada zaman Tunku Abdul Rahman dan oleh Tun Abdul
Razak.

"Kita harap percubaan (usaha) ini berkesan dan berhasil
bagi menjamin kesinambungan, kelangsungan dan yang paling penting agenda
rakyat itu dapat dilaksanakan dengan cukup berkesan," katanya.

- Bernama