Menteri Ekonomi
Rafizi Ramli berkata dia bertemu dan berbincang panjang lebar dengan
Hassan Abdul Karim sebelum ahli parlimen Pasir Gudang itu membuat
kenyataan mengenai kebimbangannya terhadap kenaikan kadar dasar
semalaman (OPR) Bank Negara.

Rafizi yang juga timbalan presiden PKR itu juga menjelaskan kebimbangan yang dinyatakan Hassan itu sebagai suatu kesilapan.

“Kami
bertemu pada hari Jumaat, malam sebelum dia membuat kenyataan. Saya
beritahu dia supaya jangan terikut-ikut sentimen pembangkang.

“Jika
dia takut isu OPR dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) menjejaskan
undi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, dia silap; ada banyak
lagi faktor yang akan menjejaskan pengundian.

"Saya sudah beritahu dia,” kata Rafizi seperti dipetik Malay Mail.

Pada
6 Mei lalu Hassan meminta Rafizi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim
menjelaskan kepada rakyat mengenai kenaikan 25 mata asas OPR seperti
diumumkan Bank Negara baru-baru ini.

Kata Hassan dia dia tidak
mahu rakyat yang tidak berpuas hati "menempelak" kerajaan berhubung
perkara itu dalam pilihan raya di enam negeri akan datang.

"Bank
Negara ada alasannya kenapa Kadar OPR itu dinaikkan. Kita bersangka baik
kepada Jawatankuasa Dasar Monetari (MPN) Bank Negara yang membuat
keputusan menaikkan kadar OPR itu. BNM mungkin melihat kepentingan
ekonomi makro Malaysia bagi jangka panjang.

"Tetapi Bank Negara juga perlu bergerak seiring dengan kerajaan sekarang pimpinan Anwar
yang sedang berusaha untuk membantu ekonomi majoriti rakyat yang sedang
bergelut untuk hidup berdepan dengan krisis kos sara hidup yang parah,"
katanya.

Menurut Rafizi, Hassan sebenarnya sentiasa boleh
berhubung dengan dia atau Anwar secara langsung untuk bertanyakan
sebarang soalan sama ada mengenai perkara yang dibangikitkan itu dan hal
lain.

Walaupun tidak menerima taklimat peribadi daripada Bank
Negara berhubung justifikasi mereka menaikkan OPR tersebut, Rafizi
berkata, dia bersetuju dengan langkah itu bagi menyokong nilai ringgit
di pasaran pertukaran asing.

“Jika kita tidak menaikkannya, kita mungkin menghadapi masalah untuk menarik dan mengekalkan pelabur asing ke Bursa Malaysia.

"Jadi, kenaikan itu adalah rancangan jangka panjang Bank Negara," katanya.