Sultan Johor Sultan
Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah memberi amaran kepada
segelintir pihak supaya tidak menjadikan kenyataan baginda berhubung
keadaan flat kos rendah di negeri itu sebagai isu politik.

Sultan Ibrahim bertitah isu tersebut bukan perkara baru, malah kerajaan sebelum ini turut mengetahui keadaan flat tersebut.

"...tetapi
mereka tidak berbuat apa-apa. Sekarang, Kerajaan Perpaduan yang baru
terpaksa menguruskan masalah-masalah sampah ini," titah baginda kepada
Royal Press Office menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim
hari ini.

Sultan Johor bertitah baginda terpaksa bersuara dan
mengemukakan masalah itu kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan
Nga Kor Ming kerana rakyat kini menyalahkan pihak berkuasa tempatan

Baginda
bertitah SWM Environment Sdn Bhd sebagai syarikat yang bertanggungjawab
menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pungutan sampah, langsung tidak
memuaskan mutu kerjanya terutama di flat-flat kos rendah.

"Tidak
ada elemen politik dalam perkara ini. Jangan jadikan ini sebagai isu
politik," tegas baginda sambil menghargai komitmen Menteri Pembangunan
Kerajaan Tempatan yang datang menghadap baginda, Isnin lepas.

"Kerajaan-kerajaan
sebelum ini tidak mengambil peduli akan permasalahan ini, adalah sangat
malang Kerajaan Perpaduan kini terpaksa menanggung permasalahan ini,"
titah Sultan Johor.

Isnin lepas, dilaporkan Sultan Ibrahim
menzahirkan kekecewaan baginda dengan tahap kebersihan dan
penyelenggaraan flat kos rendah atau flat awam di negeri itu.

Titah
baginda kebanyakan flat kos rendah di Johor dalam keadaan daif dengan
sampah dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga
berbisa.

- Bernama