Pengerusi DAP Lim
Guan Eng mencabar Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menamakan menteri
DAP yang menurutnya menghubungi mereka untuk cuba menyelesaikan kes Jill
Ireland di luar mahkamah.
Ini bagi menjawab dakwaan Muhyiddin
bahawa perkara ini berlaku semasa dia menjadi menteri dalam negeri di
bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Saya cabar dia menamakan orang itu. Jika dia gagal menyebut siapa menteri itu, dia penipu dan pengecut," kata Lim kepada Malaysiakini.
Muhyiddin
dalam satu kenyataan hari ini mendakwa dia telah menolak cadangan itu,
kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu kes Ireland diselesaikan di
mahkamah.
Semasa
pentadbiran PH, Ireland - seorang Kristian Melanau dari Sarawak -
sedang menunggu keputusan Mahkamah Tinggi mengenai permohonannya untuk
pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak untuk menggunakan perkataan
"Allah".
Kes itu diputuskan memihak kepadanya pada 2021 ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri.
Bekas
menteri kerja raya era PH Baru Bian - yang merupakan ahli PKR ketika
itu - berkata selepas keputusan mahkamah bahawa kabinet telah memutuskan
untuk menyelesaikan kes Ireland di luar mahkamah pada 2019.
Ini
selepas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan ketika itu Daim Zainuddin
bertemu peguam yang mewakili Ireland dan Sidang Injil Borneo (SIB), yang
dilaporkan bersedia untuk mencari penyelesaian.
Bagaimanapun, Baru berkata Muhyiddin telah menolak penyelesaian di luar mahkamah.
Bekas menteri kerja raya itu tidak menyatakan siapa yang membawa kes itu untuk dibincangkan dalam kabinet.
Lim berkata menteri DAP sibuk dengan portfolio masing-masing, tiada satu pun yang berkaitan dengan kes Ireland.
Pengerusi
DAP itu turut mengkritik Muhyiddin kerana cuba mengaitkan DAP dalam
pertikaian baru-baru ini berhubung keputusan kerajaan menarik balik
rayuannya dalam kes Ireland.
“Dia muflis dari segi politik, sebab itu dia cuba bawa isu perkauman dan mencetuskan sentimen,” katanya.
Lim
telah menyaman Muhyiddin pada Mac selepas presiden Bersatu itu mendakwa
dia telah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan AlBukhary.

0 Komentar