Keputusan untuk mempersembahkan cadangan
bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada
Majlis Raja-Raja membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan melindungi
kesucian Islam di samping memperkuatkan perpaduan dan keharmonian antara
kaum dan agama di Malaysia.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia (Yadim) Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata ia juga memberi
peluang untuk memperkemaskan lagi dasar sedia ada berkaitan penggunaan
kalimah itu selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan
seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Usaha
kerajaan itu (persembahkan cadangan) membuktikan Kabinet tidak
berkompromi dalam mempertahankan kesucian Islam dan kedaulatan
undang-undang atau enakmen berkaitan agama Islam di negeri-negeri.

“Ini
akan menjadikan penguatkuasaan terhadap penggunaan kalimah-kalimah
tertentu yang hanya boleh digunakan oleh orang Islam dapat diperkemaskan
dan dikuatkuasakan dengan sebaiknya,” katanya kepada Bernama.

Beliau
yakin apabila kerajaan membentangkan dokumen mengenai cadangan
berkenaan, pengkuatkuasaannya akan lebih tegas dan jelas tanpa
mengenepikan hak serta kebebasan individu bukan Islam untuk mengamalkan
agama masing-masing.

“Kita tak boleh menafikan mungkin ada
kelonggaran dalam penguatkuasaan oleh pihak yang diberikan kuasa, jadi
melalui cadangan itu nanti, Kabinet akan beri teguran dan nasihat kepada
mereka (pihak berkuasa).

“Kerajaan berada dalam track yang betul,
untuk membetulkan kekeliruan dan bukti ada kebebasan orang bukan Islam
mengamalkan agama masing-masing, tetapi juga ‘amaran’ bahawa mereka
(bukan Islam) tak boleh sebarkan agama (mereka) kepada orang yang tak
sepatutnya,” katanya.

Terdahulu hari ini, Kabinet telah mendapat
perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan mengukuhkan
penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana
Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam kenyataan berkata
kerajaan akan sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama
Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama
lain boleh diamalkan dengan aman dan damai

Perkara itu antara
yang dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini berhubung
keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill
Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi
kalimah ‘Allah’.

Pada 15 Mei lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN)
dan kerajaan Malaysia dilaporkan menarik balik rayuan terhadap
keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama
Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang
lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

- Bernama