Kerajaan digesa
menjelaskan keputusan menarik balik rayuan terhadap keputusan penting
yang membenarkan Jill Ireland - individu bukan Islam dari Sarawak -
menggunakan kalimah "Allah".

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan
Abdul Karim berkata penjelasan daripada menteri dalam negeri dan perdana
menteri sangat penting dalam meredakan kegelisahan masyarakat Islam
sekarang.

"Mengapa kes itu tidak dibenarkan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan?" soal ahli parlimen PKR itu dalam kenyataan hari ini.

Hassan merujuk keputusan Putrajaya tidak meneruskan kes itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas.

Tindakan itu mendapat tindak balas negatif daripada pelbagai kumpulan dan tokoh tempatan.

Gabungan
Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala
Sejagat (Macsa) misalnya menyifatkan ia sebagai "kejutan dan kekecewaan
yang besar".

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
membenarkan semakan kehakiman oleh Ireland - seorang Kristian Melanau -
yang memohon pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan
perkataan “Allah” untuk tujuan agama dan pendidikan.

Kerajaan kemudian mengemukakan permohonan rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi berkenaan.

Sementara itu Hassan turut mempersoalkan apakah rasional untuk Putrajaya menarik balik rayuan berkenaan.

"Adakah
keputusan menarik balik rayuan tersebut dibuat secara yang betul,
berniat baik, tidak menyalahi undang-undang pentadbiran?

"Tidakkah
peruntukan undang-undang Perlembagaan Persekutuan berkenaan kedudukan
Islam terletak dalam bidang kuasa Majlis Raja-Raja Melayu?" katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Pemuda Umno Johor turut melahirkan kebimbangan sama.

Ketuanya
Noor Azleen Ambros berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan
Peguam Negara masih belum menjelaskan asas-asas serta justifikasi di
sebalik keputusan menarik balik rayuan tersebut.

"Sewajarnya,
proses serta prosedur rayuan wajar diteruskan berlangsung bagi
memastikan segala khilaf dan kekurangan yang mungkin telah dibuat oleh
mahkamah tinggi dalam penghakimannya sebelum ini dapat diperbetulkan di
Mahkamah Rayuan.

"Ini bagi memastikan keadilan mengenai isu ini betul-betul diperolehi.

"Tindakan menarik balik rayuan yang telah difailkan adalah satu duluan buruk (bad precedence).
Lebih-lebih lagi ianya melibatkan kes dan isu sensitif yang melibatkan
martabat, kedudukan dan kesucian Islam," katanya dalam kenyataan
berasingan.

Dakwanya peluang untuk semua pihak mendapatkan
keadilan dalam isu tersebut sudah tertutup apabila rayuan ditarik balik
oleh pihak kerajaan.

"Siapakah akan bertanggungjawab sekiranya isu ini masih meleret dan dijadikan asas oleh puak-puak ekstremis.

"Kerajaan perlu ada akauntabiliti terhadap apa jua tindakan susulan daripada keputusan terbaru ini.

"Untuk
itu, adalah wajar pihak KDN dan Peguam Negara menjelaskan kepada semua
secara tuntas akan keputusan yang telah pihak kerajaan buat mengenai
perkara ini pada kadar yang segera," ujarnya.