Keputusan kerajaan menarik balik
rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi pada Mac 2021 yang berpihak
kepada pemohon Jill Ireland dari Sarawak meningkatkan lagi suhu polemik
yang berlarutan sejak 2008.

Pada 11 Mei 2008, cakera padat (CD) berjudul Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah, Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah dan Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah telah dirampas daripada Jill Ireland oleh pihak kastam di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) Sepang.

Asas
kes itu ialah pertikaian pemohon Jill Ireland kepada pekeliling
Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 yang melarang penggunaan
kalimah Allah dan beberapa perkataan lain dalam penerbitan untuk
penganut Kristian.

Tujuan pekeliling itu adalah untuk mengelakkan kekeliruan kepada orang Islam yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Hakim Nor Bee Ariffin telah memutuskan bahawa: "...
the decision to make the 1986 directive was also 'irrational and
perverse', as there was total disregard that it would be in direct
conflict with the still valid 1982 gazetted government order. (The 1986
directive would effectively be a ban on the Alkitab due to the use of
the word Allah, while the 1982 order only bans the Alkitab outside of
churches)."

Ringkasnya pertikaian itu dihujahkan oleh pemohon
berasaskan Perkara 11 Perlembagaan Malaysia tentang haknya mengamalkan
kebebasan beragama dan bagi tujuan pembelajaran peribadi.

Selain
itu asas Perlembagaan Persekutuan memberikan hak dalam perkara 8 tentang
keadilan yang perlu diberikan kepada warganegara tanpa diskriminasi
agama.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac 2021 yang
memberikan hak kepada Jill Ireland untuk mendapatkan semula CD yang
dirampas jelas adalah masalah teknikaliti perundangan yang melihat
sejauh mana Pekeliling KDN melanggar perkara 11 atau tidak.

Keputusan
itu juga mengambil kira bahawa ada kawalan yang tersedia ada dalam
pengecualian iaitu larangan menyebarkan agama lain melalui perkara
11(4), dan dalam enakmen kawalan pengembangan agama lain di
negeri-negeri yang telah menggubalnya (kecuali beberapa negeri
tertentu).

Tak bercanggah dengan prinsip

Dengan
kata lain keputusan mahkamah tinggi pada 2021 adalah menjawab masalah
tuntutan kebebasan peribadi seorang warganegara mengamalkan
kepercayaannya bagi tujuan pembelajaran, dan tanpa menyebarkannya.

Ia diputuskan atas asas pentafsiran perundangan negara dan bukan atas asas teologi agama.

Hakim Nor Bee menjelaskan: "The
right to profess and practise one’s faith should include the right to
have access to religious materials, noting it was not disputed that the
eight CDs seized were for Jill Ireland’s personal religious edification.

"As for the constitutional right to equality before the
law and non-discrimination sought by Jill Ireland, it was clear that
the Sarawakian had been discriminated.

"The facts in Jill
Ireland’s case showed that the home minister’s 1986 decision — which
was being challenged — was based on public order considerations and not
theological considerations."

Kerajaan Malaysia adalah
kerajaan yang terbina atas prinsip hukum yang menghormati undang-undang,
dan pada waktu yang sama menjunjung asas Islam sebagai agama
persekutuan.

Dalam prinsip keempat Madani - iaitu hormat atau respect - perlu menterjemahkan erti antara lain menghormati hak peribadi seseorang untuk mempelajari agama yang dianutinya selama ini.

Ia
tidak bercanggah dengan kehendak prinsip "tiada paksaan dalam beragama"
kepada orang bukan Islam sebagai tanda menghormati hak mereka.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Malaysia Madani berkata: "It encourages mutual respect as a social and cultural norm to enhance inclusiveness" (Madani menggalakkan prinsip saling hormat-menghormati sebagai satu norma sosial dan budaya bagi menggalakkan keterangkuman).

Pihak
yang mencetuskan isu kalimah Allah tidak perlu mengheret ia kepada
perdebatan emosi sehingga memberi peluang kepada pihak berkepentingan
melebarkan jurang kebencian antara agama sesama rakyat.

Tidak
perlu isu ini dilebarkan kepada dakwaan kononnya Islam tercabar kerana
ia adalah soal teknikal perundangan pada tuntutan hak peribadi
warganegara yang bukan Islam untuk tujuan pembelajarannya.

Hak mendapat keadilan

Pada waktu yang sama tiada halangan untuk perdebatan teologi selagi ia dilakukan bil hikmah (hikmah) mauizatil hasanah (peringatan baik) jadilhum billati hia ahsan (perdebatan sihat).

Kerajaan
Malaysia telah berjanji untuk menjunjung Islam sebagai agama
persekutuan dan merancakkan lagi keberkesanan dakwah yang penuh rahmah.

Ruang Islam terbuka luas dalam Malaysia Madani.

Janganlah
ia disempitkan hanya dengan keputusan mahkamah pada 2021 itu yang
tujuannya hanyalah untuk menjawab hak peribadi seorang warganegara bagi
tujuan pembelajaran agamanya berasaskan kepada prinsip hukum sebagaimana
termaktub dalam perlembagaan.

Saya yakin keputusan penarikan
rayuan ke atas keputusan mahkamah tinggi pada Mac 2021 bukan kerana
Malaysia Madani tidak membela Islam seperti didakwa sesetengah pihak,
sebaliknya adalah untuk memelihara hak individu yang berhak mendapat
keadilan tanpa prejudis, dan pada waktu yang sama tidak membawa kesan
terjejasnya ketenteraman awam.

Jangan meracuni fikiran rakyat
dalam isu ini dengan menyemai bibit kebencian atas kepentingan politik
sempit pihak yang terdesak.


MUJAHID YUSOF ialah naib presiden Amanah dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri.